PUTRAJAYA: 13 Sept 24 – Pejabat mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil supaya tidak bersikap memilih untuk menjawab semua persoalan yang dibangkitkan dalam blog bekas Perdana Menteri itu menjelang sambutan Merdeka baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Tun Dr Mahathir (Pejabat TDM) mempertahankan kenyataan Mahathir yang mempersoalkan status kebebasan bersuara di Malaysia apabila rakyat tidak dibenarkan mengulas topik berkaitan agama, raja dan kaum (3R).
Katanya, larangan untuk membincangkan 3R yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mencetuskan persoalan apabila tiada garis panduan jelas mengenai apa yang boleh diulas atau tidak.
“Tiada larangan seperti ini ketika era pentadbiran Dr Mahathir.
“Adakah undang-undang ketika itu dibuat tanpa mengikut proses betul? Tidak. Undang-undang dibuat selepas didebat di Parlimen dan diwartakan.
“3R adalah peraturan yang boleh diambil tindakan oleh polis sekiranya ia dilanggar. Ini tidak mengikuti proses yang betul,” katanya.
Terdahulu, Fahmi menafikan kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa kerajaan hari ini bersikap seperti ‘Abang Besar” dalam penulisan blognya bertajuk Erti Merdeka yang disiarkan pada 29 Ogos lalu.
Malah, Fahmi juga menyifatkan perbezaan pentadbiran sekarang dan dulu ibarat langit dan bumi dengan terdapat akhbar yang ditutup.
Bagaimanapun, Pejabat bekas Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa tindakan menutup akhbar itu disebabkan laporan yang mengakibatkan ketegangan antara kaum.
Katanya, berbeza dengan hari ini, wartawan dipanggil polis sekiranya laoiran tidak disukai oleh kerajaan.
“Jelas sekali kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi mengarahkan syarikat termasuk media sosial untuk tidak melaporkan apa-apa yang tidak disukai oleh kerajaan.
“Fahmi yang merupakan seorang Menteri sebelum ini turut mengugut untuk menghantar kereta peronda polis kepada pengkritik kerajaan di media sosial dalam sesi live dalam talian,” ujarnya,
Selain itu, kenyataan yang sama turut mengingatkan mengenai penganjuran protes jalan yang diadakan secara mingguan oleh Anwar yang mana beliau tidak dihalang untuk berbuat demikian.
Secara fakta, tiada siapa dipenjarakan kerana sertai protes atau mengutuk Dr Mahathir, tetapi berdepan hukuman itu kerana melanggar undang-undang selepas terbukti di mahkamah.
Kenyataan tersebut turut membangkitkan perbezaan antara kerajaan Mahathir yang ketika itu pembangkang menerima layanan yang jauh lebih adil dan mendapat peruntukan sehingga RM 400 juta berbanding kerajaan Anwar yang perlu menyokong kerajaanya jika wakil pembangkang mahukan peruntukan. – malayadaily.com