Orang panggil saya Abang Hail.
Hail bukan nama saya, Hail bermaksud; e-hailing – Hail. Maknanya, saya ni pemandu e-hailing. Tuan editor minta saya guna nama pena, biar nampak menarik katanya. Dia ajak saya tulis, ceritakan pengalaman saya sebagai pemandu e-hailing kepada pembaca malayadaily. Saya tulis cara saya je, kalau tak cantik, maafkan abang Hail ya.
Assalamualaikum geng
Panas betul cuaca kebelakangan ni, Abang Hail dok dalam kereta, macam dok dalam ‘hell’. Bahang dia, masyaallah..
Tapi sebab nak cari makan, kayuh jugalah. Abang anggap ni semua ujian Tuhan. Lagipun, siapalah kita ni nak komplen segala nikmat yang Tuhan dah beri. Panas sikit pun dah gelabah.
Semalam abang kayuh kat area Subang Jaya. Ada bawa seorang brader, dia nak ke KLIA 2.
Masuk je dalam kereta, dia start bersembang. Peramah orangnya. Dia kenalkan diri dia sebagai Denis, berbangsa Cina.
Abang pun, bila orang dah nak bersembang, kita layankan je, takkan nak biar pelanggan cakap sorang-sorang, kan.
Abang lebih banyak mendengar dia bercakap, pasal kerjaya dia, bukanlah dia berlagak cerita tentang kejayaan atau karier dia, tapi memang dia suka share apa pengelaman dia. Seronok jugak dengar.
Rupanya dia ni arkitek, ada firm sendiri dah, rasanya dia dah establish dah. Kalau tak, takkan mampu buka agensi sendiri, kan.
Ikut cerita dia, macam-macam projek dia dah buat, merata Malaysia. Hebat dan rajin brader Denis ni. Itulah kesimpulan abang bila dengar kisah dia.
Ada satu part tu, abang perasan semua projek dia jenis projek private. Abang tanyalah, tak ada ke projek-projek besar dari gomen ke.
Dia jawab “Oh sorry, we never apply atau received any government project, till now”
Wah.. menarik komen dia ni.
Abang tanyalah, pasal apa. Bukan ke projek gomen ni lebih ‘masyuk’ daripada projek-projek private ni.
Ikut kata Denis, dia orang ni bukan syarikat status bumi, dan dia malas nak ubah jadi status bumi sebab dia kata, kalau dapat projek besar pun, no point sebab ‘tax’ untuk orang-orang dalam ni besar, tak berbaloi kata dia.
Part ni, abang Hail ‘sound’ sikit kat dia.
“Brader, tadi you kata you never get any government project, then how come you know ‘tax’ banyak”, you ada pengalaman ke?
Denis ketawa.
“Yes of course, i tak pernah buat, tapi I tau, kawan-kawan ada pengalaman, semua kena bayar woo…” dia jawab sambil ketawa.
Abang Hail bagitau dia, tak semualah macam tu, abang kata kat dia lagi, kalau satu dua kes ada, jangan jadikan seolah-olah semua jabatan kerajaan ambil ‘tax’ dari kontraktor macam dia.
Denis akui, tak semua, tapi mereka memang tak minat ambil kontrak dari kerajaan, Denis dan team dia lebih suka ambil projek secara retail sebab alasan dia, tak banyak birokrasi dan paling best semua ‘term in cash’.
Bagi abang Hail, alasan tu oklah.
Bagi abang, kalau kita nak buat sesuatu, atau nak tolak sesuatu, biarlah atas sebab pilihan kita sendiri, jangan suka bagi alasan sebab orang itu buruk, orang ini tak baik.
Satu benda yang abang Hail belajar dari perbualan dengan Denis.
Pandangan Denis ni memang tipikallah. Dia dipengaruhi oleh pandangan orang lain yang ada pengalaman buruk dengan projek-projek yang kena ‘tax’ ni. Jadi dia, bungkus semua sekali.
Kita boleh nafi persepsi Denis ni, tapi kita tak boleh nafi, memang benda macam ni wujud.
Menjadi kakitangan atau pegawai kerajaan ni, bukan kerja yang kaleng-kaleng. Perbuatan mereka dihakimi oleh orang luar. Sikap mereka, kalau tak betul, akan jadi orang benci dan hilang kepercayaan pada jabatan. Orang tua kata, disebabkan nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
Inilah pengajaran, jangan selalu salahkan orang lain.
Ok, abang nak kayuh. Bye.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com