TERKINI

Fakta Audit Negara mengenai Majlis Profesor Negara (MPN)

Latar Belakang Majlis Profesor Negara

Majlis Profesor Negara (MPN) ditubuhkan pada 3 Februari 2010 sebagai sebuah organisasi untuk menggerakkan kepakaran tenaga akademik bagi membantu usaha Kerajaan membangunkan negara dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

Pada 1 April 2010, MPN telah dilancarkan sebagai sebuah program khas di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi yang kemudiannya dijadikan sebagai organisasi pusat dan diletakkan di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mulai 21 Mac 2014.

MPN kemudiannya diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] pada 16 Disember 2014 sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ).

Bagaimanapun pada 23 Mei 2018, MPN telah diarahkan oleh Kerajaan untuk dibubarkan namun mereka terus beroperasi secara bersendirian dengan pembiayaan sendiri.

Pada 8 November 2021, MPN telah diiktiraf semula oleh Kerajaan dan diletakkan di bawah seliaan JPM sebagai kumpulan pemikir Kerajaan dalam agenda pembangunan negara.

Mengikut Akta, 90% daripada aktiviti MPN melibatkan pemberian bantuan biasiswa, hadiah, ganjaran, elaun dan penajaan kepada pelajar kurang bernasib baik untuk membantu membiayai pengajian di institusi pendidikan.

10% aktiviti syarikat tertumpu kepada sebarang usaha dalam menyediakan intervensi latihan, perkhidmatan nasihat dan perundingan dalam pelbagai bidang yang relevan untuk pembangunan negara secara umum.

Bagaimanapun, MPN belum melaksanakan aktiviti selaras dengan Artikel Pertubuhan yang dipinda ini dan masih melaksanakan aktiviti berdasarkan Artikel Pertubuhan terdahulu bertarikh 16 Disember 2014 iaitu sebagai kumpulan pemikir Kerajaan dalam agenda pembangunan negara.

MPN mengumpulkan semua profesor dalam pelbagai disiplin keilmuan apabila dilantik sebagai profesor oleh Institusi Pengajian Tinggi diiktiraf. Berdasarkan pangkalan data keahlian MPN setakat 31 Januari 2024, jumlah keseluruhan ahli ialah seramai 8,582 yang terdiri daripada 3,088 profesor dan 5,494 profesor madya.

AUDIT

Kenapa Perlu Diaudit?

MPN tidak pernah diaudit oleh Jabatan Audit Negara sejak diperbadankan pada tahun 2014. MPN menerima geran mengurus daripada Kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh tahun 2015 hingga 2018 serta 2022 dan 2023.

Bila?

Audit dijalankan bagi bermula Januari hingga Februari 2024.

Penemuan Audit

Pindaan Artikel Pertubuhan pada tahun 2019 mengakibatkan objektif MPN tidak lagi selari dengan matlamat asal penubuhannya. Dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytihar kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta 777 dan penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut berjumlah RM373,516 mewujudkan konflik kepentingan.

Pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Pembayaran yang dibuat tanpa kelulusan LPA:
• Honorarium felo penyelidik berjumlah RM399,000.
• Pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat berjumlah RM82,500.
• Penyelarasan gaji pengurusan tertinggi berjumlah RM62,500.
• Pembayaran elaun tetap Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif berjumlah RM66,000.
Pengurusan geran tidak cekap kerana:
• Pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan.
• RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan.
• RM475,000 peruntukan tidak digunakan.

Pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 tanpa dokumen sokongan.

Syor Audit
Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan Kerajaan. Status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran kepada MPN wajar diteruskan. Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan Kerajaan, MPN perlu membuat pindaan terhadap Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil Kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN.

JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh.

Rumusan Audit
Objektif penubuhan MPN berdasarkan Artikel Pertubuhan pindaan 26 Ogos 2019 tidak tercapai, amalan tadbir urus korporat berada pada tahap tidak memuaskan dan kesinambungan operasi dan sumber kewangan MPN tertakluk kepada terimaan peruntukan daripada Kerajaan. – malayadaily.com

  • sumber Laporan Ketua Audit Negara
Facebook
Twitter
WhatsApp