TERKINI

REE : Kelantan dapat kebenaran Persekutuan bangunkan nadir bumi

Gambar hiasan – malayadaily.com

KOTA BHARU, 22 Nov 2023 – Kerajaan persekutuan telah memberi kebenaran kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membangunkan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ekoran itu pihaknya sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) namun memerlukan kebenaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Hal ini bagi memastikan ia selari dengan ketetapan dibuat oleh kerajaan Persekutuan,” katanya selepas menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas-BN, Mohd Syahbuddin Hashim mengenai strategi Kerajaan Kelantan dalam perlombongan sumber baharu REE di negeri ini.

Menjawab soalan tambahan Galas itu, beliau yang juga ADUN Temangan memberitahu, nilai REE di negeri ini dianggarkan kira-kira RM1.2 bilion.

Ujarnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran kerajaan negeri akan berusaha mempercepatkan proses itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, Kelantan akan bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri sebagai permulaan dalam membangunkan REE.

Menurut beliau, ketika ini kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada syarikat dari China dalam mengendalikan perkara tersebut.

“Kita akan memastikan perkara ini dapat dimanfaatkan untuk rakyat Kelantan tanpa perlu melibatkan pihak ketiga.

“Selain itu, kita juga akan mengambil warga tempatan untuk melatih mereka supaya menjadi pekerja yang mahir dalam pengeluaran REE,” katanya semasa menjawab soalan tambahan ADUN Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechik pada Persidangan kali kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Negeri Kelantan (DUN) Yang Ke-15 Tahun 2023. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp