TERKINI

Fenomena Cuaca Panas : KADA Sediakan Pam Bantu Petani, LTKN Arah Tangguh Tanam Kenaf

Gambar hiasan – Foto berita harian

TUMPAT, 15 Mei 2023 – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menempatkan dua pam air berkapasiti tinggi di kawasan penanaman padi seluas 424 hektar di Kampung Simpangan dan Kampung Tualang di sini sebagai persediaan menangani kekurangan bekalan air ketika musim panas ini.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA Mohd Razif Abdullah berkata usaha tersebut dilakukan bagi membantu mengelakkan petani menanggung kerugian apabila tanaman padi yang diusahakan rosak akibat kemarau.

“Seramai 14 petani yang mengusahakan tanaman padi di sini mengalami kerugian besar pada musim lepas kerana ketiadaan sumber air untuk disalurkan ke tapak pertanian menyebabkan padi yang ditanam rosak.

“Sehubungan itu, KADA dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan dua pam bagi menyedut air dari Sungai Raut kira-kira empat kilometer dari bendang sebagai persediaan tanaman padi musim depan yang akan bermula Jun ini,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan yang sama di Kota Bharu, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mengarahkan penangguhan sementara penanaman kenaf di Kelantan dan Terengganu berikutan musim kemarau yang melanda, kata Ketua Pengarah LKTN Idris Mohd Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata tanaman itu masih diteruskan di beberapa negeri lain termasuk Kedah, Perlis dan Pahang.

“Oleh kerana kenaf adalah tanaman jangka pendek dan kita mendapat maklumat kemungkinan kemarau akan berterusan, jadi kita mengambil langkah menangguhkan penanamannya melibatkan keluasan 300 hektar di Kelantan dan 200 hektar di Terengganu.

“Kita sedang melihat semula penanaman kenaf ini, jika berterusan kita bimbang akan memberi kerugian kepada 33 petani di Kelantan dan 43 petani di Terengganu,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp