BACHOK, 19 Mei 2023 – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk tidak menghantar anak mereka ke tabika serta taska pada musim panas ini, kata Ketua Pengarahnya Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.
Beliau berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada semua guru kelas sejak 27 April lepas di bawah Arahan Pentadbiran Bilangan 7 melibatkan tabika dan taska seluruh negara.
“Arahan ini melibatkan 10,800 tabika dan 550 taska dengan 218,000 kanak-kanak mengikuti pembelajaran di bawah KEMAS seluruh negara.
“Kita juga bersedia mempertimbangkan penutupan terus tabika dan taska sekiranya suhu mencecah 40 darjah Celsius dan ke atas bagi tujuan keselamatan kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya semalam.
Ahmad Kamal berkata satu garis panduan dibuat kepada guru supaya sentiasa memantau suhu persekitaran iaitu sekiranya 35 hingga 37 darjah Celsius, mereka dibenarkan tidak melakukan aktiviti di luar bilik darjah.
“Dari segi pengudaraan, kelas tidak ada penyaman udara kalau ada pun tidak mampu menampung keadaan cuaca panas, jadi guru diminta membuka tingkap.
“Kalau tahap suhu 37 hingga 40 darjah Celsius, kita sudah beri arahan dan garis panduan supaya kelas ditutup melibatkan kanak-kanak berusia dua hingga lapan tahun yang belajar di tabika serta taska,” katanya.
Menurutnya pihak KEMAS ada menerima beberapa laporan daripada tabika dan taska di Kelantan, Johor dan negeri lain berhubung situasi cuaca panas, tetapi setakat ini belum ada sebarang kes berkaitan keadaan tersebut.
Katanya jabatan itu akan memantau dari semasa ke semasa dan laporan perlu dibuat secara prosedur termasuk memaklumkan kepada pegawai daerah serta pengarah negeri untuk sebarang kelulusan. – Bernama