TERKINI

Gaza Kritikal, Palestin Seru Bantuan Kesihatan, Kemanusiaan

Gaza City – foto AFP

GAZA, 16 Okt 2023 – Pertempuran antara Hamas dan Israel yang masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda terus menyaksikan krisis kemanusiaan dengan jumlah korban akibat peperangan itu terus meningkat.

Serangan udara tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 2,670 orang, manakala 9,600 yang lain cedera sejak 7 Oktober lalu, kata Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Ahad.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Palestin menyeru dunia untuk menghantar pasukan perubatan.

“Kami menyeru dunia, pertubuhan antarabangsa dan tindakan kecemasan untuk menghantar delegasi perubatan sukarela dari semua bidang kepakaran untuk menyelamatkan penduduk awam yang cedera di Semenanjung Gaza,” kata Ketua Pengarah Kerjasama Antarbangsa Kementerian Kesihatan Palestin, Marwan Abu Saada dalam sidang akhbar.

Dalam perkembangan sama, Pesuruhjaya Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Philippe Lazzarini menegaskan, krisis kemanusiaan di Gaza kini berada di kedudukan yang sangat kritikal.

Menurut Lazzarini, bahawa bekalan air dan elektrik di Gaza semakin terhad selain penduduk menghadapi kekurangan makanan dan ubat yang serius.

“Gaza sedang kritikal… nampaknya dunia kini telah kehilangan kemanusiaannya. Jika kita melihat isu air – kita semua tahu air adalah kehidupan – Gaza sedang kehabisan air dan Gaza juga sedang kehilangan kehidupan,” kata Lazzarini. – Agensi

Facebook
Twitter
WhatsApp