KUALA LUMPUR, 30 Nov 2023 – Ketika dunia menanti lanjutan gencatan senjata, Israel pula tetap dengan pendiran mahu teruskan perang.
Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu tegaskan tentera Zionis akan terus memerangi Hamas sehingga ke akhirnya.
Kenyataan ini dibuat ketika mana Israel dan Hamas sedang mempertimbangkan fasa baharu gencatan.
Israel mahu Hamas bukan hanya membebaskan penduduk Israel, tetapi juga anggota tentera yang ditahan.
“Pada permulaan perang, saya tekankan tiga misi. Menghapuskan Hamas, mengembalikan semua tahanan kami dan memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel. Ketiga-tiga objektif ini kekal.
“Sejak beberapa minggu lalu, Israel berjaya mencapai kejayaan, termasuk dengan kembalinya tahanan kami. Tetapi sejak kebelakangan ini, ada pertanyaan dikemukakan, selepas selesai fasa membebaskan tahanan adakah Israel akan kembali bertempur? Jawapan saya adalah ya.
“Tiada situasi yang akan menamatkan pertempuran ini. Ini adalah polisinya. Seluruh kabinet menyokongnya. Ini adalah apa yang kami mahukan,” katanya.
Pada Selasa, wakil Agensi Siasatan Pusat (CIA), Agensi Risikan Israel (MOSSAD) dan Perdana Menteri Qatar dilaporkan berunding pusingan gencatan senjata baharu.
Qatar juga mengadakan pertemuan dengan wakil Hamas, namun sehingga kini hasil rundingan tidak didedahkan. – Awani