
KUALA LUMPUR, 27 Mac 25 – Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Kementerian Luar menyatakan pendirian jelas selepas menterinya Datuk Seri Mohamad Hasan meminta rakyat berhati-hati dalam mengkritikan Amerika Syarikat (AS) kerana dikhuatiri menjejaskan ekonomi negara.
Mahathir dalam satu kenyatan ringkas menerusi applikasi X, hari ini turut mempersoalkan sama ada kenyataan Mohamad itu turut menjurus kepada kritikan terhadap pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.
“Menteri Luar berkata kita tidak ada isu dengan Amerika Syarikat (AS), jadi kita perlu berhati-hati apabila mengkritik AS.
“Adakah bermakna, kita tidak kisah AS menyokong Israel dengan senjata dan duit untuk pembunuhan besar-besaran di rakyat Palestin di Gaza dan Lubnan?,” soal Mahathir.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Mohamad ketika persidangan Dewan Negara yang meminta semua pihak berhati-hati menyuarakan kritikan terhadap AS bagi mengelakkan ekonomi negara terjejas.
Walaupun menjuarai isu Palestin, Mohamad berkata Malaysia tidak mempunyai masalah dengan AS dan tidak berhasrat memutuskan hubungan antara dua negara berikutan pelaburan langsung asing nega itu adalah antara terbesar berjumlah sehingga RM324 billion atau AS$71 billion. – malayadaily.com