TERKINI

Hukuman Baharu Perlu Ambil Kira Implikasi Masa Depan – Pakar

foto The Centre

SHAH ALAM, 26 Mac 2023 – Hukuman alternatif baharu yang akan menggantikan penjara sepanjang hayat bagi kesalahan tertentu perlu dikaji semula dengan mengambil kira implikasi bakal dihadapi.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim berpandangan, pemansuhan hukuman mati mandatori sebelum ini sudah memberi kesan emosi kepada keluarga mangsa kes bunuh yang mahu hukuman setimpal dengan perbuatan pelaku.

“Daripada (hukuman) mati mandatori, ditukar kepada penjara sepanjang hayat. Ia beri pengajaran kepada pelaku iaitu kesengsaraan yang berpanjangan.

“Namun implikasinya, kerajaan perlu menanggung kos makan minum banduan selagi dia ada dalam penjara. Itu antara pro dan kontra.

“Bagaimanapun ia perlu bergantung kepada kes-kes tertentu terutama kes jenayah berat seperti pembunuhan kejam. Keluarga mangsa teraniaya tetapi pelaku hanya menjalani hukuman penjara dalam tempoh tertentu, masih hidup sedangkan sebelum ini dia (dijatuhkan) hukuman mati mandatori,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hukuman penjara sepanjang hayat yang menggantikan hukuman mati mandatori akan digantikan dengan hukuman alternatif baharu iaitu penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Dalam pada itu, Shahul Hamid turut memuji keputusan kerajaan yang tidak memansuhkan hukuman mati terhadap kesalahan berkaitan jenayah dadah.

“Kebimbangan terutama kepada pengedar dadah (kesalahan) 39B, aktiviti mereka akan lebih berleluasa, tidak takut untuk lakukan jenayah sama sekiranya tiada hukuman mati mandatori lagi,” katanya. – sumber Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp