TERKINI

Keputusan Mahkamah tolak rayuan Apandi Ali bukti keputusan kerajaan 2018, tepat – Tun M

Mahathir Mohamad (kanan), Apandi Ali (kiri) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 17 Mei 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penghakiman mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan  Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnahnya terhadap Tan Sri Lim Kit Siang, menjadi bukti keputusan beliau untuk menamatkan perkhidmatan bekas Peguam Negara tersebut adalah tepat.

Mahathir berkata dalam satu entri di laman sosial X, semalam, berkata, bermula di Mahkamah Tinggi, diikuti oleh Mahkamah Rayuan dan sekarang Mahkamah Persekutuan, kesemua tujuh hakim bersetuju bahawa kegagalan utama Apandi ialah dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Peguam Negara.

“Malahan, di Mahkamah Rayuan hakim telah menyatakan apabila Apandi memutuskan secara tiba-tiba untuk hentikan siasatan (skandal 1MDB), ianya mengukuhkan pandangan awam bahawa Apandi menyembunyikan skandal tersebut.

“Di Mahkamah Rayuan juga hakim telah menyatakan bahawa Apandi yang “diamanahkan dengan kuasa untuk mengarahkan penyiasatan bagi menyelesaikan kes dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab tanpa rasa takut atau pilih kasih” telah bertindak sebaliknya dan cuba menghalang siasatan skandal 1MDB. Katanya.

Tambah Mahathir, hujah-hujah penghakiman tersebut memberi makna bahawa keputusan kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, berhubung penamatan khidmat Apandi sebagai Peguam Negara pada 2018, adalah tepat.

“Apandi kemudiannya telah menyaman Kerajaan dan menamakan saya sebagai defendan kerana kononnya saya telah menamatkan perkhidmatannya secara tidak sah selain mendakwa saya memandang serong terhadapnya.

“Kerana itu saya tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan pada tahun 2022 yang bersetuju selesai saman pemecatan Apandi dan saya diberitahu membabitkan ganti rugi yang agak lumayan. Ujar Mahathir.

Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berhubung skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum itu, November tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohamed Apandi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan saman itu dan memerintahkan beliau membayar kos RM100,000.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menolak permohonan Mohamed Apandi selepas memutuskan ia bukan suatu yang wajar bagi panel terbabit untuk campur tangan dalam kes berkenaan.

Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman ringkas yang dicapai secara keputusan sebulat suara itu, berkata pemohon (Mohamed Apandi) tidak mempunyai prima facie dan tiada sebarang isu baru yang dikemukakan dalam permohonannya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp