TERKINI

Isu DNAA Zahid : Tunggu Penjelasan Dua Peguam Negara – Rafizi

Idrus Harun (kiri), Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 14 Sept 2023 – Adalah tidak adil untuk menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Kerajaan Perpaduan mencampuri urusan kehakiman, khususnya Pejabat Peguam Negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, adalah lebih baik untuk bersabar dan menanti penjelasan dari bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara kini, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dijangka akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Saya juga berminat seperti mana orang lain, tetapi untuk menuduh Perdana Menteri, dan menjangkakan Perdana Menteri akan mencampuri apa jua keputusan AG, saya rasa rakyat harus bertindak adil kepada kerajaan,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan BFM – Breakfast Grille pada Rabu.

Ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan melepas Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, Rafizi berkata, beliau mengambil pendekatan untuk tidak memberi komen untuk kes-kes berprofil tinggi.

“Sebab itu pada masa lepas, saya tidak sewenang-wenangnya memberi komen terhadap setiap kes atau setiap individu, kerana saya tahu sesetengah kes mempunyai merit yang lebih besar dan lebih baik.

“Jadi saya cenderung membiarkannya menjadi urusan mahkamah, dan biar pendakwaraya lakukan kerja mereka. Kami komited untuk tidak mencampuri urusan mahkamah,” tambahnya.

Ditanya mengenai langkah memohon pengampunan bagi Najib, Rafizi menjawab – “Kami akan membincangkannya di peringkat Kerajaan Perpaduan, kami akan membincangkannya di peringkat Kabinet. Tetapi kita sedia maklum Pakatan Harapan tidak akan bersetuju”.

Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara akan dipanggil JKPK bagi menjelaskan keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Tinggi baru-baru ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp