PUTRAJAYA, 27 Nov 2023 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyegerakan urusan bagi membuat satu pindaan pada Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan soal kewarganegaraan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata ia merupakan keutamaan KDN, dan pada masa ini proses itu telah melepasi sesi perbincangan di peringkat Jemaah Menteri serta telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
“Sekarang dalam fine tuning ayat dan juga bahasa yang akan digunakan dalam penggubalan rang undang-undang (itu),” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.
Sebelum ini KDN dilaporkan akan membuat keputusan muktamad sama ada pindaan peruntukan berkaitan kewarganegaraan itu akan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan, atau ia hanya akan melibatkan akta serta peraturan sedia ada. – Bernama