TERKINI

Isu Perpaduan Kaum : Seperti ada agenda tersirat untuk menghakis kedudukan Melayu – Mukhriz

Mukhriz Mahathir – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 1 April 2024 – Presiden parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir menyifatkan perkara-perkara yang berlaku mutakhir ini seperti ada suatu agenda tersirat yang mahu menghakis kedudukan orang Melayu baik dari segi pegangan agama, kedudukan ekonomi dan maruah.

Beliau ketika mengulas isu-isu yang melibatkan Melayu dan perpaduan nasional seperti isu sekolah vernakular, isu kampung baharu Cina, dakwaan dominasi Melayu dalam penjawat awam, isu-isu agama seperti stoking kalimah Allah, berkata, jika ianya dibiarkan, perkara tersebut boleh melarat dan menjadikan Melayu sudah tidak kenal pada bangsanya sendiri.

“Jadi bila tertimbul perkara macam ini kita takda pilihan kecuali memikirkan bahawa ada satu agenda ya, macam ada satu tindakan secara tersirat mungkin ya, untuk menghakis kedudukan orang Melayu tu sendiri baik dari segi pegangan agamanya baik dari segi kedudukan ekonominya baik dari segi maruah ni.

“Sebagai sebuah kaum, sebagai sebuah bangsa dan kalaulah ianya dibiarkan begitu saja kita risau dia akan melarat dia bermula daripada sini lepas tu naik lagi.. lagi.. lagi sampailah akhirnya kita pun dah tak kenal kaum kita sendiri, walhal masyarakat Melayu kita dia adalah masyarakat yang paling bertoleransi. Ujarnya.

Mengulas isu yang sama, Mukhriz tutur mengingatkan bahawa orang Melayu adalah bangsa Melayu sebagai sebuah bangsa yang bertoleransi dan tidak banyak berkira malah tidak mempersoalkan amalan atau cara hidup bukan Melayu dan Islam.

“Kita ni mudah cara, orang kata mudah kira, kita tak da lah nak mengungkit ke, kita pun kadang-kadang bukannya faham sangat pun berkenaan dengan cara agama-agama lain, kaum-kaum lain, tetapi kita tak kacau, kita tahu itu hak dia jadi kita tak faham takpelah, tapi kita tahu itulah cara dia lagi kita tak persoalkan.

“Jadi kenapa perlu dipersoalkan pula amalan-amalan kita, budaya kita, adat kita dan sebagainya, itu saya rasa macam menimbulkan rasa sedikit syak wasangka yang tak sepatutnya timbul dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah, mengingatkan bahawa ramai orang Melayu terasa dengan kejadian-kejadian ini dan menekankan bahawa perkara-perkara seperti ini difahami oleh semua lapisan masyarakat malah ia tidak sepatutnya timbul lagi selepas sekian lama Malaysia merdeka. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp