
KUALA LUMPUR, 24 Feb 2025 – Parti Putra menyokong penuh cadangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang menggesa siasatan dijalankan ke atas penjualan dan pembelian semula saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Wakil Putra, Shahrulufti Sharif berkata dalam satu kenyataan, desakkan Ku Li yang merupakan seorang tokoh berwibawa dalam bidang kewangan dan ekonomi, harus disokong.
“Parti Putra menyokong penuh cadangan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) seorang tokoh negarawan yg berwibawa dalam bidang kewangan dan ekonomi. Katanya.
Untuk rekod, sokongan kepada desakan Ku Li ini hadir selepas Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng juga telah mengulangi gesaan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah agar SPRM menyiasat keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Shahrulufti yang juga Ketua Penerangan Putra memberitahu bahawa tindakan KWSP yang menjual saham pada harga rendah tetapi membeli kembali dengan harga yang tinggi menimbulkan keraguan.
“KWSP perlu memberikan penjelasan yang jelas dan telus mengenai keputusan pelaburan ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
“Ketelusan dalam pengurusan pelaburan adalah kunci untuk memastikan kepentingan rakyat terjaga.
“Dana simpanan rakyat adalah aset yang sangat berharga dan perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab. Ujarnya.
Sebelum ini bekas menteri kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan telah menggesa siasatan dijalankan ke atas penjualan dan pembelian semula saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis meneliti perjanjian itu, yang didakwa menyebabkan kerugian antara RM539 juta dan RM694 juta.
Tengku Razaleigh menyifatkan transaksi itu sebagai tidak logik dan tidak boleh diterima dan mempersoalkan sama ada KWSP telah menerima arahan daripada mana-mana pihak luar. – malayadaily.com