TERKINI

“Jangan tandatangan MOU” – Mahathir gesa pembangkang

Foto arkib

PUTRAJAYA, 25 Sept 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa wakil rakyat pembangkang agar tidak menandatangani deraf perjanjian persefahaman (MoU) antara Kerajaan PH dengan PN dan antara Ahli Parlimen PN dengan Kerajaan Madani mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Mahathir dalam satu kenyataan menerusi media sosial X berkata, tujuan sebenar MoU ini ialah hendak menutup mulut wakil rakyat agar tidak boleh mengkritik kerajaan.

“Tujuan sebenarnya 3R dan MOU ialah supaya mulut rakyat dan wakil mereka ditutup sehingga tidak boleh kritik Kerajaan. Ujarnya.

Mahathir juga menjelaskan punca mengapa MoU ini dibuat adalah kerana gabungan yang membentuk kerajaan ketika ini tidak stabil kerana wakil rakyat UMNO tidak senang bekerja dengan DAP, yang kini menjadi parti terkuat dalam gabungan itu.

“Parti yang terkuat dalam gabungan ini ialah DAP dengan 40 kerusi. Bagi PMX tuntutan DAP perlu dilayan jika ia ingin kekal sebagai PM. Sebaliknya UMNO dengan wakil rakyat Melayunya agak tidak senang bekerjasama dengan DAP. Jika UMNO tidak sokong gabungan, Sarawak juga tidak akan sokong.

“Jika UMNO dan Sarawak tidak sokong Kerajaan akan jatuh. Oleh itu mulut orang Melayu perlu ditutup. Dengan itu diperkenal 3R dan kemudian MOU. Katanya.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menerusi Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin telah membuat ketetapan sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Dalam satu kenyataan, Hamzah berkata sebab utama penolakan tersebut adalah kerana deraf MOU itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang mana antara syarat yang dikenakan, dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp