TERKINI

Jawatan Menteri Jadi Percaturan Politik?

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Pelantikan menteri bukan urusan kecil atau ruang eksperimen politik, sebaliknya amanah kenegaraan yang besar kerana ia menentukan hala tuju negara, kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi akan datang, kata Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis, Haji Rashidi bin Haris.

Menurut beliau, kebimbangan wajar timbul susulan pengumuman kabinet baharu Kerajaan Madani apabila terdapat individu yang disifatkan masih kurang pengalaman pentadbiran tetapi diberikan tanggungjawab besar mengurus kementerian.

Beliau mempersoalkan sama ada pelantikan tersebut dibuat berdasarkan kelayakan dan kewibawaan, atau sekadar memenuhi percaturan politik gabungan, sambil menegaskan jawatan menteri bukan hadiah kesetiaan parti atau alat menutup kelemahan kestabilan koalisi.

Rashidi berkata pengurusan negara menuntut kefahaman dasar, pengalaman membuat keputusan besar serta keupayaan mengurus tekanan nasional dan antarabangsa, dan tanpa elemen itu seseorang menteri berisiko menjadi liabiliti kepada negara.

Mengulas sejarah kepimpinan dunia, beliau berkata banyak negara runtuh bukan kerana kekurangan sumber, tetapi akibat salah memilih pemimpin, sehingga melahirkan dasar bercanggah, pentadbiran lemah dan hilang kepercayaan rakyat.

Beliau turut merujuk peringatan Rasulullah SAW mengenai golongan Ruwaibidhah, iaitu individu yang tidak cukup kelayakan tetapi diberikan kuasa besar dalam urusan kenegaraan, yang menurutnya menjadi isyarat awal kehancuran sistem.

Sambil mengakui realiti politik gabungan, Rashidi menegaskan kestabilan tidak boleh dibina dengan mengorbankan kualiti kepimpinan, dan kerajaan digesa melantik menteri berdasarkan kelayakan serta amanah, bukan semata-mata kesetiaan atau populariti. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp