TERKINI

Jika Tun M zalim, kaum lain takkan dapat tempat di Malaysia – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan – fofo Awani

KUALA LUMPUR, 14 Jan 2024 – Pemimpin Prokalamasi Sekretaruat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan melahirkan rasa kesal dengan tuduhan dibangkitkan pemimpin India berhubung kenyataan Dr. Mahathir yang membangkitkan isu berkaitan kaum itu baru-baru ini

Menurut beliau, jika Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang pemimpin zalim, sudah pasti ketika memimpin negara selama 22 tahun dan 22 bulan yang lalu, semua bangsa yang ada akan ditekan dan dipupuskan.

Namun, mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu bukan seorang yang bersikap sedemikian, apatah lagi tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana bangsa lain sepanjang pemerintahannya.

Khairuddin mengingatkan bahawa di bidang ekonomi, bangsa Cina dan India mengecapi lebih banyak manfaat daripada orang Melayu dalam agenda merebut peluang kekayaan negara.

“Ketika memegang kuasa Perdana Menteri, beliau boleh lakukan pelbagai tindakan untuk menyekat apa saja peluang kepada bangsa lain, tetapi itu bukan sikapnya.

“Malah, proses pendemokrasian pendidikan dilaksanakan secara adil kepada semua bangsa sepertimana dikecapi oleh anak orang Melayu.

“Beliau juga mencetuskan pemikiran mewujudkan ‘Sekolah Wawasan’ bagi merapatkan jalinan hubungan silaturahim antara anak orang Melayu dengan bangsa lain di bidang pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, ramai tidak faham apa yang tersurat serta tersirat mengenai kenyataan Dr. Mahathir terhadap bangsa lain di negara ini.

Tambahan pula, kadangkala pihak pengamal media suka ‘spin’ kenyataan Dr. Mahathir untuk disensasikan sehingga memburukkan lagi keadaan dengan agenda melariskan berita-berita mereka.

“Sekiranya kita teliti secara lebih mendalam kenyataannya mengenai masyarakat India, hakikatnya beliau tidak mempersoalkan kesetiaan orang India pada tanah air ini.

“Ungkapan Dr. Mahathir mesti dikaji dan ditelitikan secara terperinci akan maksud sebenarnya,” katanya.
Beliau menyatakan, Dr. Mahathir sentiasa bersikap adil kepada semua bangsa sejak dulu, kini dan selamanya. Ujar beliau ketika mengulas kritikan beberapa pemimpin India mengenai kenyataan Tun Mahathir dalam satu temubual bersama media India, baru-baru ini.

Kata beliau lagi, jika Dr. Mahathir seorang yang rasis sudah pasti beliau akan bertindak mengasingkan anak orang Melayu dengan anak bangsa lain supaya terpinggir lebih jauh.

“Ini adalah satu kaedah untuk memupuk nilai asimilasi antara bangsa atau kaum di negara kita bagi mencapai matlamat intigrasi nasional yang lebih akrab.

“Selepas kemerdekaan pada 1957, kaum Melayu tidak pernah menentang pemberian satu juta kewarganegaraan kepada kaum pendatang pada waktu itu.

“Kaum pendatang diberi ribuan ekar tanah dan meminta agar sekolah vernakular berteraskan bahasa Cina serta India dilaksanakan sehingga hari ini tidak pernah dihapuskan,” ujar beliau.

Menurut Khairuddin, niat murni Dr. Mahathir untuk mewujudkan Sekolah Wawasan bagi mencapai agenda perpaduan nasional di negara ini telah ditolak oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bangsa lain.

“Semua pihak jangan lupa waktu itu kepimpinan dan kuasa politik Melayu amat kuat.

“Tidak keterlaluan dikatakan kepimpinan Melayu boleh buat apa saja ketika itu jika mahu mensabotaj hak bangsa lain, tetapi ianya tidak pernah berlaku.

“Ini kerana Dr. Mahathir adalah seorang tokoh negarawan yang amat adil, manakala bangsa Melayu adalah kaum yang cukup baik,” kata beliau.

Beliau minta pelbagai bangsa di negara ini melihat bagaimana kaum Cina telah diasimilasikan di Indonesia, Thailand serta beberapa negara lain di dunia.

“Mereka ditekan supaya menggunakan nama sepertimana kaum asal termasuk mengamalkan bahasa serta budaya negara tersebut tanpa kompromi.

“Di Malaysia, selepas Merdeka, masih ramai bangsa dari kaum pendatang tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan secara baik, apatah lagi untuk memahami adat resam mahupun budaya Melayu di tanah air tercinta ini.

“Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan Dr. Mahathir dan bangsa Melayu amat menyayangi semua bangsa lain di bumi Malaysia ini,” jelasnya.

Khairuddin memberi peringatan agar tiada mana-mana kaum atau bangsa lain pertikai kontrak sosial yang telah dimeterai dan dipersetujui secara bersama ketika menggubal Perlembagaan Negara.

Tetapi, pada masa sama, jelas beliau, bangsa lain harus bersikap terbuka untuk menghayati nasihat Dr. Mahathir agar mereka mesti adil kepada Melayu ke arah memahami secara lebih mendalam mengenai bahasa, adat resam dan budaya Melayu sekurang-kurangnya.

“Bangsa lain tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam kerana kita menghormati kepelbagaian agama sepertimana ajaran agama Islam berteraskan al-Quran serta as-Sunnah.

“Justeru, semua pihak kena fahami setiap kenyataan Dr. Mahathir secara tersurat dan tersirat serta tolong jangan ‘spin’ kenyataan beliau di luar konteks semata-mata untuk mensensasikan sesuatu berita yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Sesungguhnya juga, Dr. Mahathir sering menasihati orang Melayu jangan cemburu dengan kemajuan bangsa lain, tetapi orang Melayu kena terus berusaha secara konsisten untuk menebuskan semula maruah anak bangsa,” katanya.

Inilah, katanya, matlamat Dr. Mahathir menubuhkan Gerakan Proklamasi Orang Melayu, bagi menyatu-padukan seterusnya terus berjuang dalam pelbagai sektor bagi memperkasakan kedudukan serta menebus semula maruah orang Melayu agar dihormati dalam mahupun luar negara.

Kata Khairuddin lagi, hak bangsa lain akan terus dihormati sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Apakah sikap adil dan murni Dr. Mahathir ini dianggap membenci bangsa lain di bumi Malaysia yang tercinta ini?

“Cukup-cukuplah dengan agenda untuk memfitnah Dr. Mahathir kerana tiada siapa pun boleh memadam fakta sejarah yang membuktikan di sebaliknya,” kata beliau. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp