TERKINI

Johor Laksana Kempen Semakan Arah Kiblat Elak Kekeliruan

Gambar Hiasan – foto alhijrah online

BATU PAHAT, 29 April 2023 – Johor akan melaksanakan kempen semakan arah kiblat bagi memastikan tiada kekeliruan dalam menentukan perkara itu turut berlaku di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata kempen menyemak arah kiblat itu akan bermula minggu depan dengan fasa pertama melibatkan premis kerajaan dan sekolah di semua 10 daerah di Johor.

Beliau berkata kempen berkenaan yang akan digerakkan oleh satu jawatankuasa khas dianggotai pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam, akan memastikan arah kiblat di semua premis itu adalah tepat.

“Kita mengambil nasihat daripada Datuk Dr Nooh Gadut bahawa sekalipun negeri itu (yang berlaku salah arah kiblat) bukan negeri Johor, tapi selaku Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, saya bersama agensi berkaitan akan menggerakkan kempen semakan arah kiblat bersama.

“… saya percaya hal ini boleh dilakukan dengan kerjasama pejabat agama daerah, masjid dan surau dan mereka ini diberi latihan supaya mereka juga dapat membantu penduduk kampung, taman supaya menyemak semula arah kiblat masing-masing,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Parit Puasa, di sini pada Jumaat.

Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima apa-apa laporan berhubung salah arah kiblat dan meminta orang ramai yang keliru supaya menghubungi jabatan agama berhubung isu itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Nooh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang akan memanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua Majlis Agama Negeri berhubung isu arah kiblat tersasar yang dibangkitkan baru-baru ini. Ia susulan pemeriksaan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor yang mendapati hanya 5,000 kediaman atau premis yang diperiksa ada penanda arah kiblat ditandai tuan rumah dengan kira-kira 2,000 daripadanya terpesong. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp