TERKINI

Joseph Kurup meninggal dunia di IJN

Joseph Kurup – foto Utusan

KUALA LUMPUR, 18 Apr 24 – Bekas Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dilapor meninggal dunia hari ini, pada usia 80 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Punca kematian, Kurup, yang juga pengasas PBRS itu masih belum dikenal pasti.

Memetik laporan Astri Awani, pemergian ahli politik veteran itu disahkan oleh Ketua Penerangan PBRS, malam tadi.

Menurut Sua, mendiang Kurup cukup konsisten dan komited dalam menerajui PBRS dan akan diingati bukan sahaja untuk rakyat Sabah, khususnya.

“Berada dalam komponen Barisan Nasional (sejak 1994), hala tuju yang diambilnya, suara PBRS dalam gagasan BN sering didengari di setiap peringkat,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, pada Rabu.

Pada Januari tahun lalu, Kurup mengumumkan bersara dalam politik dan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBRS berkuat kuasa serta-merta.

Kurup mula berkecimpung dalam bidang politik pada 1985 dengan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook di atas tiket PBS pada 1985-1999 dan 2004, selain sebagai Ahli Parlimen Pensiangan pada 2003.

Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Melinda Mak Soak Fong dan enam orang anak.

Antara jawatan penting yang pernah disandang di peringkat negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pembangunan Sumber dan Usahawan, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sementara itu, di peringkat pusat pula, mendiang pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2013 hingga 2018. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp