TERKINI

Dunia tak lakukan apa-apa untuk rakyat Palestin – Tun M

Mahathir Mohamad (kiri) – foto Facebook TDM

KUALA LUMPUR, 7 Dis 2023 – Dunia tidak melakukan apa-apa untuk menegakkan kepercayaan bahawa antara hak yang mesti dimiliki oleh manusia ialah hak untuk hidup.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kekecewaan beliau terhadap pembunuhan meramai-ramai rakyat Palestin oleh Zionis Israel.

Mahathir berkata, beliau telah hilang kepercayaan terhadap tamadun manusia kerana kita membenarkan pembunuhan beramai-ramai itu.

“Saya telah hilang kepercayaan terhadap tamadun kita. Kita tidak bertamadun jika kita membenarkan pembunuhan beramai-ramai dilakukan di hadapan dunia sepenuhnya.

“Lelaki, wanita, kanak-kanak lelaki dan perempuan, bayi, pesakit di hospital, orang kurang upaya; kesemua mereka sedang dibunuh.

“Alasannya ialah tindakan balas terhadap Hamas kerana menyerang Israel. Kata Mahathir.

Menurutnya lagi, sudah lebih 16,000 rakyat Palestin di Gaza telah terbunuh. Kota Gaza telah dihancurkan dan rakyat tidak mempunyai perlindungan untuk mereka.

“Mereka tinggal di kawasan terbuka kerana mereka tidak boleh tinggal di hospital dan sekolah sekalipun. Mereka ini juga sedang dimusnahkan oleh Israel. Luah Mahathir.

“Seluruh dunia sedang menonton ini di TV. Dan seluruh dunia tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini.

“Bagaimana kita boleh mengaku bertamadun sedangkan pembunuhan beramai-ramai dilakukan di depan muka dan dunia tidak melakukan apa-apa untuk menegakkan kepercayaan bahawa antara hak yang mesti dimiliki oleh manusia ialah hak untuk hidup. Ujar Mahathir.

Semalam, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres buat pertama kalinya menggunakan Artikel 99 Piagam PBB memberi amaran kepada Majlis Keselamatan PBB dan berkata bahawa orang awam di Gaza sedang menghadapi ‘bahaya yang serius’ dan sistem penjagaan kesihatan di wilayah yang terkepung itu semakin lumpuh.

Beliau menambah ‘Tiada tempat yang selamat di Gaza’. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp