TERKINI

Kaji selidik : Prestasi Kerajaan Perpaduan merosot

Anwar Ibrahim (kiri), Zahid Hamidi (kanan) – foto FMT

SHAH ALAM, 23 Nov 2023 – Penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merosot pada 41 peratus pada Oktober lalu, berdasarkan laporan kaji selidik Merdeka Center.

Kaji selidik Merdeka Center itu turut mendedahkan 77.8 peratus responden berpandangan bahawa kebimbangan ekonomi merupakan masalah utama yang dihadapi oleh negara.

Menurut kenyataan Merdeka Center, masalah kebimbangan ekonomi itu melibatkan lima isu termasuk keadaan ekonomi yang tidak menguntungkan secara umum, kos sara hidup tinggi, kemerosotan nilai ringgit, pendapatan minimum serta pembangunan ekonomi.

Selain itu, 2.9 peratus responden menyifatkan diskriminasi atau polarisasi kaum sebagai masalah terbesar negara, diikuti dengan kelemahan kepemimpinan (1.4 peratus), jurang pembangunan dan infrastruktur (1.2 peratus) serta korupsi (satu peratus).

Tinjauan tersebut membabitkan 1,220 responden berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara merangkumi 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus) manakala enam peratus bagi Bumiputera bukan Islam dan Bumiputera Islam.

Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak berstrata mengikut garis etnik, jantina, umur dan negeri. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp