TERKINI

Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan Punyai Banyak Potensi – Tun M

Mahathir Mohamad (tengah), Muhammad Sanusi Md Noor (kiri) – foto Pejabat TDM

KUALA LUMPUR, 21 Sept 2023 – Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan punyai banyak potensi untuk berkembang maju.

Beliau menyarankan agar aset tanah diguna dan dimajukan agar peluang pekerjaan dapat diwujudkan bersama-sama dengan sektor pelancungan yang juga menjadi aset penting.

Dalam satu kenyataan di laman sosial X, Mahathir berkata negeri Kedah mempunyai potensi yang sama seperti negeri lain dan mempunyai aset serta sumber yang berpotensi dalam sektor pelaburan untuk memberi pulangan.

“Negeri Kedah punyai banyak potensi sama seperti negeri lain.

“Segala aset dan sumber negeri jika dilabur berpotensi beri pulangan.

Mahathir berkata demikian selepas pertemuan dengan YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Mentaloon, Alor Setar, pada Rabu.

Menurut Mahathir, selain Langkawi, Gunung Jerai juga berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancungan kerana mempunyai keunikan tersendiri.

“Saya dapati ini pun salah satu tarikan yang terdapat di negeri Kedah.

“Pemandangannya cukup cantik dan udaranya nyaman. Berbeza di Cameron dan Genting Highland, di puncak Gunung Jerai ini boleh nampak sesaujana mata memandang.

“Dari sebelah kanan boleh nampak sawah padi, sebelah kiri boleh lihat lautan. Malahan di situ ada pokok-pokok dan hijauan yang mendamaikan, selain nilai sejarah di situ. Ujar bekas perdana menteri itu.

Dalam pertemuan tersebut, Mahathir mencadangkan agar diadakan acara berbasikal diperingkat antarabangsa di Gunung Jerai untuk mempromosikan destinasi tersebut.

Cadangan seumpama ini pernah dilakukan untuk memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancungan dunia dalam penganjuran ‘Le Tour de Langkawi’ yang masih berterusan sehingga kini.

“Saya cadang adakan acara kayuh basikal peringkat antarabangsa dari kaki bukit ke puncak gunung. Dengan itu saja kita boleh perkenal Gunung Jerai sebagai salah satu produk pelancongan negeri.

“Ramai akan berkayuh sambil nikmati kehijauan gunung ini.

Tokoh negarawan ini juga menyarankan agar tanah-tanah di negeri Kedah diusahakan supaya ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

“Tanah adalah aset negeri yang boleh dijadikan modal. Jika jual tanah, negeri akan rugi kerana nilai tanah biasanya meningkat.

“Pembangunan atas tanah akan sediakan peluang pekerjaan dan sumbang pada kitaran ekonomi penduduk.

Beliau juga berkongsi pengalaman bagaimana usaha membangunkan Kuala Lumpur dilakukan. Mahathir berpendapat bahawa kerajaan tidak perlu melengahkan proses permohonan apabila ada pelabur yang sudah berminat untuk membuat pelaburan.

“Saya juga kongsi berkenaan pembangunan Kuala Lumpur. Dahulu bangunan di situ semuanya rendah belaka. Apabila ditanya mengapa pembangunan di KL perlahan, rupanya permohonan dan kelulusan kepada pelabur mengambil masa yang lama. Dahulu kita pakai sistem borang, borang dan dokumen 7 salinan pun hilang dan banyak alasan lagi. Ini kerenah birokrasi dan tidak cekap.

“Selepas Datuk Bandar Elyas Omar dilantik, beliau buat banyak kelulusan. Jadi sebagai Perdana Menteri ketika itu, saya beritahu kepadanya proses kelulusan tidak perlu lebih dari seminggu, saya sendiri hendak lihat apa sebab jika sesuatu kelulusan itu ditolak.

“Pelabur sudah berminat, tidak patut lengahkan proses sekiranya syarat sudahpun dipenuhi, kalau tidak mereka akan lari ke tempat lain negara akan rugi. Sejak itu Kuala Lumpur dipenuhi dengan kren-kren dan pesat hingga sekarang sama seperti bandar di negara lain. Dan Kuala Lumpur telah sediakan banyak peluang pekerjaan dan ekonominya meningkat tidak seperti dahulu lagi.

Mahathir yakin bahawa negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan punyai banyak potensi.

“Kita cuma perlu tahu bagaimana hendak laksana sesuatu idea untuk memajukan negeri.

Ini termasuk sokongan jentera pentadbiran, amalan kerja “good administration”, elak rasuah dalam urusan Kerajaan, elak ganggu pelabur apabila mereka sudah yakin melabur di negeri.

“Ini semua akan bantu makmurkan negeri keseluruhannya. Saya ucap terima kasih dan semoga negeri Kedah terus sejahtera dan makmur. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp