TERKINI

Kemahiran TVET Buka Peluang Jadi Usahawan – Alumni

Gambar hiasan – foto harian metro

KEPALA BATAS, 16 Julai 2023 – Program latihan kemahiran dalam pelbagai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh agensi serta institusi pendidikan, mampu membuka peluang dalam mengusahakan perniagaan sendiri.

Alumni TVET Mohd Hairul Ithnin, 38, seorang usahawan produk VC-Pro berkata kemahiran dan ilmu yang diajarkan melalui TVET amat bermanfaat kepadanya sehingga mampu membuka perniagaan sendiri.

“Saya merupakan bekas pelajar Giatmara di Segamat, Johor pada 2001. Saya memang berminat dengan bidang perniagaan, jadi dengan adanya ilmu dan kemahiran yang sangat berguna daripada TVET, saya mampu membuka perniagaan sendiri,” katanya kepada Bernama pada Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square semalam.

Beliau berharap agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat menganjurkan lebih banyak ekspo sebegitu bagi mempromosikan kesedaran, menarik minat dan meningkatkan kemasukan pelajar baharu dalam bidang TVET.

Seorang pengusaha bakeri dari rumah, Nur Azaidatul Arnica Mahabharata, 30, berkata kemahiran TVET telah membantunya dalam menguruskan perniagaannya dengan lebih efisien.

“Saya telah memulakan perniagaan bakeri dari rumah pada 2014. Selepas mempunyai ilmu pengetahuan serta kemahiran TVET dan setelah saya mengaplikasikannya dalam perniagaan, pendapatan perniagaan saya bertambah baik. Saya berhasrat untuk membuka bakeri sendiri secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Farrah Wahida Azizan, 44, pegawai farmasi berkata program Ekspo TVET@KKDW 2023 merupakan platform yang dapat membantu khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam membuat keputusan mengenai perkara yang boleh dilakukan atau dipelajari selepas tamat persekolahan.

“Program ini sangat bermanfaat. Sebagai ibu bapa, kita juga mendapat pendedahan mengenai apa itu program TVET melalui program Ekspo TVET@KKDW 2023 ini,” katanya.

Ekspo TVET@KKDW 2023 berlangsung hingga hari ini dari 9 pagi hingga 10 malam di Bertam Square, Kepala Batas.

Program itu merupakan medan promosi bagi program latihan kemahiran dalam pelbagai bidang TVET yang ditawarkan oleh agensi serta institusi pendidikan di bawah KKDW.

Sebanyak 280 institusi TVET bersedia menawarkan pelbagai program, kursus dan latihan kemahiran kepada pengunjung yang meminati aspek kemahiran. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp