TERKINI

Kemelut Pinjaman Online: Pejuang Desak Menteri Bertindak Segera

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Jawatankuasa Orang Muda (JOM) Parti Pejuang TanahAir memberi amaran bahawa Malaysia kini berdepan krisis sosioekonomi serius akibat penularan pinjaman wang dalam talian haram atau Ah Long siber, termasuk amalan menindas oleh sebahagian Pemberi Pinjaman Wang (PPW) berlesen yang didakwa melanggar undang-undang.

Pengerusinya, Mohd Akmal Mohd Yusoff, berkata ribuan rakyat khususnya daripada golongan B40 dan M40 terperangkap dalam kitaran hutang dengan kadar faedah melampau sehingga mencecah ratusan peratus, jauh melebihi had yang ditetapkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Keadaan itu, katanya, bukan sahaja membebankan mangsa secara kewangan, malah mencetuskan tekanan mental, keruntuhan institusi keluarga serta pencabulan maruah.

“Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila sindiket pinjaman haram kini menggunakan taktik eksploitasi digital, termasuk mencuri dan menyalahgunakan data peribadi peminjam untuk tujuan ugutan.

“Gangguan turut melibatkan ahli keluarga, rakan sekerja dan jiran tetangga, menjadikan isu ini bukan lagi sekadar masalah penguatkuasaan, tetapi ancaman keselamatan nasional. Katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

JOM turut mendesak kerajaan menilai semula kerangka hukuman terhadap Ah Long dengan meminda undang-undang supaya hukuman berat dikenakan seawal aktiviti pinjaman haram dijalankan, bukan hanya selepas jenayah serius berlaku.

Antara tuntutan dikemukakan ialah hukuman penjara minimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 tanpa kompromi.

“Krisis ini bukan sekadar isu hutang, tetapi melibatkan maruah, keselamatan dan masa depan rakyat. Menteri mesti segera ‘buat kerja’ dan menggempur rangkaian pinjaman haram demi melindungi rakyat daripada kerakusan Ah Long siber,” tegas Mohd Akmal. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp