TERKINI

Kenyataan Charles Santiago kepada pemimpin negara, biadap – Putra

Zarina Zainal Abidin (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 14 Jan 2024 – Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan biadab dan kurang ajar terhadap pemimpin ulung negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu berkaitan kaum India.

Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Putra, Zarina Zainal Abidin dalam kenyataan balasnya, menyelar pemimpin DAP itu yang secara keterlaluan menunjukkan sikap seperti ‘tak ada otak’ terhadap Tun Mahathir yang pernah mengemudi tampuk pemerintahan negara dalam jangka masa puluhan tahun.

Ujar beliau, Putra selaku parti yang memperjuangkan doktrin kemelayuan bangkit menyelar dengan lantangnya kenyataan biadab itu.

“Charles seperti menafikan masih terdapat jurang bangsa bukan Melayu sendiri yang wujudkan kononnya mengaku mereka warganegara Malaysia yang sentiasa mendokong falsafah lima prinsip utama Rukun Negara.

“Itu belum lagi mereka diuji dengan kefasihan penggunaan Bahasa Melayu dan paling penting mengiktiraf segala hak keistimewaan orang Melayu yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Disebabkan Charles cuba menghidupkan api ke’bangsa’an, kita mahu beliau lihat semula Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Charles semalam, yang dilaporkan kesal dengan kenyataan terbaru Dr. Mahathir terhadap masyarakat India Malaysia.

Kata Charles, Dr. Mahathir sepatutnya malu dengan dirinya sendiri kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian pada usia senjanya.

“Kaum India dan Cina telah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan politik Malaysia. Dr Mahathir Mohamad harus malu dengan dirinya sendiri atas (kenyataan) ‘bisa’ (venom) tersebut.

“Tindakan mesti diambil ke atasnya kerana kenyataan yang memecahbelahkan itu berpotensi membahayakan masyarakat berbilang kaum ini,” kata Charles pada X, yang dahulu dikenali sebagai Twitter.

Mengulas lanjut, Zarina yang juga Pengerusi Biro Undang-undang Anti Rasuah dan Integriti Putra berkata, Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan Bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.

Jelas beliau lagi, untuk menjadikan diri sebagai warganegara Malaysia amnya, apakah bangsa mereka dapat dibuktikan melalui ciri-ciri tersebut yang telah digariskan?

Ujarnya, pembabitan dari aspek sosio ekonomi bukan sahaja dimajukan oleh bangsa bukan Melayu seperti India dan Cina, malah tidak keterlaluan sekiranya dikatakan titik bermulanya perkara tersebut diasaskan oleh bangsa Melayu sendiri.

“Bangsa Melayu yang golongan awal mahu mengubah dan membangunkan negara ini sejak mula kemerdekaan dengan segala pengemblengan usaha serta taat setia tanpa berbelah bahagi.

“Itulah kenyataan yang sukar disangkal oleh mana-mana bangsa sekalipun di dunia ini.

“Memetik kenyataan Dr. Mahathir, apa yang cuba disampaikan secara erti kata lainnya mahu semua bangsa yang kononnya berpaksikan hati ke’Malaysiaan’nya tetap sedar dan secara sedikit demi sedikit mengikis identiti asal nenek moyang mereka masing-masing,” katanya.

Kata Zarina, sekiranya benar rakyat bukan Melayu akur dengan prinsip digariskan mengapa sekolah vernakular sehingga hari ini masih kekal beroperasi?

Bukankah, katanya, lebih baik tutup sahaja dan bersama menuntut ilmu dengan satu identiti iaitu di sekolah kebangsaan yang majoritinya bangsa Melayu.

“Bukankah ini dapat menidakkan sikap membezakan sosio budaya dan mengiktiraf ketuanan bangsa Melayu?

“Saya hairan dengan tingkah Charles yang tiba-tiba melompat. Adakah kenyataan itu benar? Hanya yang kunyah cili sahaja mampu merasakan pedasnya.

“Sudah-sudahlah Charles. Yang penting sekarang cuba perbaiki mana masih rongak supaya jangan kerana silap ‘tembak’ isu seperti ini, maka ramai lagi Melayu lain bangkit geram dengan tindakan dan cara anda menjadi hero kononnya, katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp