TERKINI

Kerajaan Akan Bentang RUU Mengenai GMT Di Parlimen

foto portal RTM

CYBERJAYA, 7 April 2023 – Kerajaan bakal membentangkan rang undang-undang (RUU) mengenai pelaksanaan cukai minimum sejagat (GMT) sebelum mula diperkenalkan tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cukai global tersebut akan dilakukan berperingkat dalam dua fasa ke atas semua syarikat multinasional (MNC).

“Insya-Allah kerajaan jangka ini jadi sumber baharu pendapatan negara malah kita sasar buat permulaan kutipan RM1 bilion sepanjang tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis iftar dan menyerahkan sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada 10 penerima asnaf terpilih, di sini malam ini.

GMT pernah disebut Menteri Kewangan sebelum ini, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2023 yang mana cukai berkenaan dilaksanakan Kesatuan Eropah dan banyak negara lain termasuk Jepun, Qatar, Indonesia dan Britain terhadap MNC asing yang melabur di negara mereka.

Isu GMT turut disentuh Ahmad ketika berucap pada majlis berkenaan dan membayangkan ia gantian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 2018.

“GMT hanya kenakan kadar 15 peratus dan ramai tidak tahu, jika Malaysia tidak kenakan, negara asal MNC itu pula yang akan kenakan kepada syarikat pelabur tersebut,” jelasnya.

Pada masa sama, kerajaan dijangka melaksanakan pelbagai insentif kepada MNC untuk memastikan mereka mengekalkan pelaburan di negara ini dalam tempoh yang lebih lama.

Menyentuh Program Pengakuan Secara Sukarela yang akan dilaksanakan selama setahun mulai 1 Jun depan, beliau yakin LHDN berkemampuan mengutip cukai lebih RM1 bilion.

“Kerajaan jangka 50,000 pembayar cukai baharu dan sedia akan akan tampil kerana tiada penalti dikenakan malah semakan audit tahun-tahun sebelum itu tidak dibuat,” jelasnya. – sumber UTUSAN

Facebook
Twitter
WhatsApp