TERKINI

Kerajaan Disyor Laksana Sistem Apungan Harga Beras – Pakar

Gambar hiasan – foto KataData

KUALA LUMPUR, 20 Sept 2023 – Profesor Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk M Nasir Shamsudin sebaliknya berpendapat kerajaan disyorkan melaksanakan sistem apungan harga beras sekiranya sudah tidak mahu lagi memberikan subsidi yang juga balasan ganti kepada kawalan harga padi dan beras.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat, lapor Astro Awani.

“Kalau kita lihat penggunaan beras ini sebenarnya kalau bahasa ekonomi dipanggil inferior good atau barang bawahan. Pada tahun 70 an, setiap daripada kita menggunakan 120 kg beras per person per year. Tapi sekarang dalam lebih kurang 77 kg sahaja.

“Ini menunjukkan perbelanjaan beras untuk isi rumah sebenarnya tidak besar. Pada pandangan saya, untuk T20 tidak memberi kesan sangat termasuk M40 juga. Tetapi isu ini tertumpu kepada golongan B40,” katanya.

Tambah beliau, satu kajian telah dijalankan menunjukkan bahawa setiap isi rumah golongan B40 tidak membelanjakan lebih daripada RM50 dalam tempoh sebulan sekiranya harga beras tempatan diapungkan pada harga RM2.60 sekilogram.

Beliau turut mengesyorkan kerajaan perlu melaksanakan bantuan kewangan pembelian beras kepada golongan B40 menerusi aplikasi MySejahtera sebagai pelan jangka pendek.

Dalam pada itu, Pengerusi Sekuriti Makanan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Syed Zikiri Syed Hassan Shahabudin turut bersetuju dengan cadangan apungan harga beras tempatan dan dalam masa sama menegaskan pengguna tidak perlu panik dengan berita bekalan beras tempatan kurang di pasaran.

“Dunia berdepan dengan perubahan iklim ketara. Hujan juga telah banyak berlaku di tempat-tempat lain, jadi sekarang Brazil pun ada beras, Australia pun ada, akhirnya kita semua akan mempunyai bekalan beras yang mencukupi walaupun negara mempunyai 10 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia yang didagangkan. Tidak perlu panik, panik akan menghasilkan lebih banyak berita buruk,” katanya lagi. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp