TERKINI

Kerajaan Madani Harus Hadapi Isu Kuota Secara Telus – Zaid Ibrahim

Zaid Ibrahim – foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2023 – Bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim menggesa kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani isu membabitkan kuota secara telus, khususnya membabitkan pendidikan.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaan kuota adalah langkah yang baik, isu asas yang perlu diberi perhatian adalah cara pelaksanaan dasar tersebut.

“Pelaksanaan dasar yang salah atau tidak wajar boleh membawa kesukaran kepada ramai pelajar.

“Apa yang kerajaan mesti lakukan terlebih dahulu ialah menjadikan proses penentuan kriteria secara telus,” kata Zaid, dalam kenyataan di laman Twitter miliknya.

Beliau mendakwa kerajaan perpaduan hari ini tidak memandang serius isu kuota pendidikan tinggi.

“Cara kerajaan Madani menangani isu kuota untuk pendidikan tinggi amat dikesali.

“Isu kuota tidak seharusnya menjadi pantang larang, seperti yang berlaku sekarang, dasar awam yang penting perlu lebih terbuka untuk perbincangan supaya objektif asalnya tercapai tanpa sebarang diskriminasi,” kata bekas menteri di jabatan perdana menteri itu lagi.

Pemimpin yang baik katanya berkeupayaan untuk menangani isu yang sensitif tanpa menyentuh sentimen asas rakyat terbanyak.

“Beliau (Anwar) diharapkan dapat menyelesaikan dengan cara yang terbaik unsur-unsur yang bercanggah atau bertentangan dalam masyarakat yang akan menyemarakkan keamanan dan keharmonian,” kata Zaid.

Facebook
Twitter
WhatsApp