KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2023 – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tujuan pihak tertentu yang menjemput anak-anak tahfiz ke sebuah konsert pada Ahad.
Ahmad Fadhli menyuarakan rasa kesal apabila melihat perkara tersebut menerusi sebuah video tular dikongsikan di media sosial baru-baru ini.
“Kepada pihak yang menjemput anak-anak tahfiz, jika dilihat kepada pakaian berjubah dan berserban ke konsert itu semalam, saya mohon sensitiflah sikit.
“Apa tujuan pergi hadap anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu? Apa nilai yang anda ingin sampaikan?
“Sedih dan terhiris hati rasanya melihat video anak-anak pelajar agama tercengang-cengang terkejut barangkali,” katanya dalam satu status Facebooknya, pada Isnin.
Sebelum ini, telah tular satu video di media sosial di mana sekumpulan remaja didakwa anak-anak tahfiz yang berjubah dan berserban antara yang dijemput hadir ke konsert pada Ahad.
Konsert KEPCI Music Fest 2023 anjuran restoran khidmat segera, KFC juga dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Konsert yang dihadiri kira-kira 8,500 rakyat pelbagai kaum itu dianjurkan di Stadium Malawati di Shah Alam, turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaluddin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) QSR Brands, Nehchal Khanna. – malayadaily.com