TERKINI

Kod Etika Wartawan: Tidak salah wartawan memihak, tapi bukan kepartian – Prof Murad

Ahmad Murad Merican – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 9 Mac 2024 – Profesor sejarah sosial dan intelektual, Professor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican berpandangan bahawa media dan kewartawanan perlu dilindungi daripada ideologi kepartian, namun tidak salah media atau kewartawanan memihak.

Beliau menyuarakan pandangan tersebut berhubung isu kebebasan kewartawanan yang terkait dengan kod etika kewartawanan yang diperkenalkan kembali oleh kerajaan.

“Benar. Kebebasan kewartawanan itu tidak mutlak. Namun, warga negara perlu disajikan dengan pendapat, ulasan dan komentar yang berkualiti, tafsiran yang jelas mengenai isu-isu kompleks, pendirian yang berdasarkan kepada autoriti idea dan hujah, dan bukan terikat kepada mana-mana ideologi.

Menurutnya, walaupun landskap media dan kewartawanan perlu dilindungi dari ideologi kepartian, namun tidak salah jika media dan kewartawanan itu memihak.

“Di sinilah pentingkannya kawal selia kendiri bagi melindungi profesion itu, menjamin integrati berita dan pendapat; menjunjung ideal kebebasan dan ekspresi, menjaga imej profesion – suatu hasrat yang belum kesampaian. Ujar beliau.

Ahmad Murad juga berpendapat bahawa Perdana Menteri, menteri dan kerajaan boleh bercakap mengenai isu-isu membabitkan isu kewartawanan, namun mereka tidak seharusnya menyentuh mengenai inisiatif pengawalan dan kawal selia.

“Apa pun, menteri tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengenai pengawalan/kawal selia kewartawanan. Perdana menteri, menteri dan kerajaan boleh berbicara mengenai media dan kewartawanan sebagai subjek/topik/isu.

“Tetapi tidak boleh menyentuh mengenai inisiatif pengawalan dan kawal selia. Katanya.

Namun demikian, Ahmad Murad menegaskan bahawa kerajaan, Perdana Menteri, kabinet dan lain-lain institusi awam dan swasta serta warga negara malah masyarakat, boleh menegur dan memberi komen mengenai prestasi media kewartawanan, namun penting bagi pihak berkuasa kerjaaan menjauhi diri daripada menaungi institusi dan profesion tersebut.

“Di sinilah perlunya ahli profesion – wartawan, editor melangkah ke depan mengasaskan falsafah, struktur dan mekanisme pelaksanaan kawal selia kendiri.

“Kod etik ialah hanya satu mekanisme. Wartawan sendiri mesti menyatakan mekanisme pelaksanaannya yang cekap dan berkesan.

“Langkah tersebut wajar dimulakan oleh fraterniti kewartawanan sendiri berdasarkan bagaimana mereka mentakrif profesion mereka sendiri; bukannya bagaimana profesion itu ditakrif oleh kerajaan.

“Profession itu sendiri mesti melindungi diri dari dinaungi oleh pihak lain. Ujarnya.

Ahmad Murad mengingatkan bahawa semua pihak tudak terkeliru antara profesion dan media sosial kerana kedua-duanya adalah institusi yang berbeza, walaupun berkait.

“Wartawan perlu jelas mengenai perbezaan itu. Dan mana-mana pihak mesti jelas akan bidangkuasa dan penglibatan kod etika seperti itu.

“Perkara pertama ialah kod etika yang dimaksudkan tidak wajar dikenakan kepada pengguna media sosial; dan kedua, ia tidak wajar dinaungi oleh kerajaan; walaupun semasa pelancarannya – juga tidak wajar oleh kerajaan – disebut mengenai ‘punca kuasa’ kod tersebut dari kod etika 1989.

Tegas Ahmad Murad lagi, istilah ‘punca kuasa’ yang digunakan dalam isu ini juga tidak tepat.

“Ini bukan peraturan dasar/peraturan pentadbiran. Ini suatu tradisi profesion yang kewujudannya lebih lama dari terbentuknya negara ini.

Baru-baru ini, Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan oleh kerajaan sebagai usaha memperkasa peranan wartawan dalam penyampaian berita dan maklumat, namun usaha tersebut mendapat kecaman pengendali media khususnya media atas talian. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp