PUTRAJAYA, 7 Mac 2024 – Parti PUTRA mengecam tindakan kerajaan Malaysia yang terbaru dalam memperkenalkan kod etika wartawan.
Menurut Ketua penerangannya, Shahrulufti Sharif, langkah tersebut secara tidak langsung memberikan kuasa kepada Jabatan Penerangan untuk membatalkan kad media.
“(Ini) adalah suatu tindakan yang mencerminkan ketidakintegritian kerajaan dan usaha untuk mengawal media.
“Putra menolak dengan keras sebarang bentuk pengawasan yang berlebihan dan tidak adil yang dikenakan oleh kerajaan terhadap media.
Tambah Sharulfti, kod etika yang diperkenalkan sepatutnya menjadi garis panduan untuk meningkatkan integriti dan profesionalisme, kini menjadi alat untuk menyekat kritikan dan menghukum media yang berani bersuara.
“Putra mendesak kerajaan untuk menarik balik kod etika ini dan membiarkan Majlis Media Malaysia, yang akan ditubuhkan, untuk mengambil alih tanggungjawab dalam merangka kod etika yang adil dan berimbang.
“Ini adalah langkah penting untuk memastikan bahawa media dapat beroperasi tanpa takut akan pembatasan atau hukuman yang tidak adil. Ujarnya.
Dalam kenyataan yang sama, Putra juga menggesa kerajaan untuk berhenti menggunakan taktik intimidasi terhadap media dan menghormati prinsip kebebasan media sebagai asas kepada negara demokratik serta dalam mempertahankan hak media untuk melaporkan tanpa prejudis dan tanpa takut kepada ancaman kerajaan.
Baru-baru ini, Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan sebagai usaha memperkasa peranan wartawan dalam penyampaian berita dan maklumat, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menyangkal dakwaan kononnya kod etika itu memberikan konotasi negatif kepada bidang kewartawanan, Nie Ching menegaskan kod itu sudah wujud sejak 1989 dan pembaharuan serta penambahbaikan itu perlu dilakukan seiring peredaran semasa agar kekal relevan.
Beliau berkata, kod etika itu juga dokumen rasmi sebagai punca kuasa dan rujukan bagi tujuan pengeluaran serta pembatalan kad perakuan media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Menurut laporan media, Jabatan Penerangan telah mengeluarkan kad media dengan tempoh sah yang jauh lebih pendek untuk beberapa wartawan media dalam talian dari pelbagai agensi berita.
Tempoh sah yang lebih pendek untuk kad media melibatkan wartawan yang bekerja untuk portal dalam talian, yang memohon untuk memperbaharui atau membuat permohonan baru untuk kad media mulai tahun ini. – malayadaily.com