SHAH ALAM, 15 Apr 24 – Kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan terkini dan kesan peningkatan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah susulan konflik terbaharu antara Iran dan Israel sejak Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk potensi konflik berkenaan terhadap impak ke atas ekonomi dan rakyat negara ini.
“Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kita juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada kita,” kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selain pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia berpendirian semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.
Ujarnya, semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.
“Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut berkenaan.
Konflik Iran-Israel tercetus apabila, Iran melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu di wilayah diduduki Israel pada Sabtu.
Pelancaran dron yang dipercayai buatan Iran, Shahed-136 telah disahkan oleh tentera Israel dan media berkaitan negara Iran, Press TV.
Iran telah berikrar membalas dendam atas apa yang disifatkannya sebagai serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang membunuh tujuh pegawai pengawal termasuk dua komander kanan dan berkata serangannya adalah hukuman bagi ‘jenayah Israel’. – Sinar Harian