TERKINI

Konsep Kepelbagaian Kaum Disalahgunakan – Kata Sarjana

Foto Malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 7 Julai 2023 – Gesaan amalan konsep kepelbagaian antara kaum sering disalahgunakan segelintir pihak yang cuba meminggirkan istilah Melayu dan pribumi, kata pakar.

Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mendakwa, istilah pribumi dan Melayu kini seakan sudah menjadi ‘politically incorrect’ dan semakin diperlekehkan.

“Konsep dan amalan kepelbagaian kaum ini telah di salah guna oleh keturunan pendatang di Malaysia, sedangkan konsep itu telah gagal dilain-lain negara.

“Keturunan tersebut telah menafikan asas Malaysia sebagai negara berbilang kaum, sedangkan asasnya adalah penduduk peribumi.

“Saya bimbang istilah ‘peribumi’ pun kian lama akan di pinggirkan, akhir sekali dipadamkan. Kini nampaknya istilah Melayu dan peribumi kian diperlekehkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kedudukan lain-lain kaum di dalam Perlembagaan.

Mahathir berkata, usaha menyamaratakan kepelbagaian rakyat di negara ini dengan orang Melayu dan unsur kemelayuan yang menjadi teras identiti bangsa Malaysia bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Murad sehubungan itu berkata, lebih membimbangkan adalah gesaan konsep kepelbagaian kaum itu bukan dipelopori oleh orang Melayu.

“Lebih membimbangkan gesaan ‘multiculralisme’ ini umumnya tidak disogokkan oleh orang Melayu tetapi oleh kaum lain di Malaysia.

“Kita kena faham sejarah Tanah Melayu dan kepulauan Melayu. Malah baru-baru ini tersiar satu liputan mengenai kehidupan ‘multicultural’ di Lembah Bujang dan Sungai Batu pada Zaman Kedah Tua lebih dari 1,000 tahun lalu.

“Liputan itu menekankan sifat pelbagai kaum di Kedah Tua dan Tanah Melayu, seolah-olah tidak ada kewatanan peribumi, seolah-oleh orang Melayu tidak boleh bercakap mengenai pemperibumian sejarah dan Tamadun di Tanah Melayu,” kata Murad.

Hakikatnya, tiada pihak yang boleh menafikan Malaysia memiliki penduduk pelbagai kaum.

“Dan orang Melayu tidak menolak masyarakat pelbagai kaum, malah orang Melayu telah menerima amalan ini dan telah bersetuju berkongsi kuasa dengan kaum lain,” katanya.

Kenyataan Mahathir itu menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak yang mengatakan negarawan itu salah tafsir akan Perlembagaan.

Namun begitu, banyak pihak juga bersetuju dengan pendirian Mahathir itu dan berkongsi kebimbangan mengenai usaha mempromosi negara berbilang kaum sehingga mengenepikan unsur kemelayuan yang menurut mereka bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp