TERKINI

KPKT Mahu Seragam Proses Kelulusan KM Peringkat Negeri Dan PBT

Gambar hiasan – foto facebook kpkt

PUTRAJAYA, 19 Jun 2023 – Kerajaan sedang merancang untuk menetapkan satu pendekatan di peringkat Persekutuan bagi menyeragamkan penambahbaikan proses kelulusan kebenaran merancang (KM) di peringkat negeri dan seterusnya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan ia mengambil kira keberkesanan dilaksanakan di beberapa PBT yang terbukti memberi impak positif kepada pelaburan dan perkembangan ekonomi.

“Usaha dan inisiatif ini sedang dilaksanakan bagi memudah cara dan memendekkan tempoh masa kelulusan pelan pemajuan terutamanya pelan KM.

“Antara cadangan utama adalah melalui inisiatif penambahbaikan OSC 3.0 Plus,” menurut kenyataan itu.
Melalui kaedah itu, KPKT memaklumkan permohonan akan dikelaskan dan diproses berdasarkan kategori dan tujuan pembangunan seperti perindustrian, perumahan, komersial, pembangunan bercampur, kemudahan awam dan KM kecil bagi ubah suai.

Berdasarkan pengkelasan itu juga, setiap permohonan akan dipertimbangkan melalui tatacara yang berbeza dan seterusnya dapat memendekkan tempoh kelulusan KM.

Menurut KPKT proses penambahbaikan itu akan dilaksanakan dahulu di 10 PBT sebagai projek rintis.

Seterusnya, cadangan penambahbaikan tersebut akan diperhalusi melalui pelaksanaan sesi libat urus bersama pihak berkuasa negeri dan PBT untuk menyediakan satu manual bagi menyeragamkan proses dan prosedur yang melibatkan perubahan kepada aliran proses sedia ada.

KPKT memaklumkan cadangan penambahbaikan itu mampu memacu peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi PBT, negeri dan negara yang didorong melalui peningkatan kompetensi dan kecekapan, penetapan tanggungjawab yang jelas serta akauntabiliti yang telus dan pengukuhan peranan semua pihak yang terlibat. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp