TERKINI

Kurang penerimaan terhadap bahasa kebangsaan – Prof Teo

Teo Kok Seong – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 25 Feb 2024 – Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan yang berperanan sebagai penyatu kepada seluruh kaum di Malaysia, tegas pakar Bahasa, Profesor Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong.

Namun demikian, menurut beliau, bahasa nasional ini disifatkan kurang penerimaan dikalangan rakyat.

“Secara rasminya bahasa Melayu bahasa Melayu itulah istilah yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila kita sebut tentang bahasa kebangsaan kita, namanya ialah bahasa Melayu, itu pada perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu adalah bahasa negara kita berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi.

“Istilah bahasa Malaysia ni datang kemudian sebagai satu cara untuk mempertingkatkan perpaduan. Ujarnya dalam satu wawancara bersama malayadaily, baru-baru ini.

Menurut Kok Seong, berbanding Bahasa Indonesia, penerimaan rakyat Indonesia terhadap bahasa nasional mereka begitu berjaya.

“Kita dapat lihat cara itu berjaya sekali, rakyat Indonesia begitu teruja dengan bahasa negara mereka.

“Kelompok peribumi itu sahaja kan 1,500 suku tu, dapat disatupadukan, jadi kita fikir itu caranya maka selepas rusuhan kaum 13 Mei kita memberi nama bahasa Melayu tu bahasa Malaysia tetapi kita tidak ada ubah dari segi perlembagaan. Katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa bahasa Melayu yang dijenamakan selepas peristiwa 13 Mei, menjadi bahasa Malaysia, adalah atas tujuan sosial politik sahaja, namun ia tetap Bahasa Melayu.

“Maknanya nama itu kita angkat untuk tujuan sosial politik saja, untuk menjadi wadah yang kononnya lebih mesralah kepada yang bukan Melayu, untuk mendakap bahasa Melayu tu sebagai bahasa negara, mereka bangga, tapi sayangnya dengan nama sedemikian dan makna nama nasional bahasa Malaysia itu penerimaannya pun tak seberapalah.

“Dari segi sosial budaya pun fitrah di mana-mana pun bahasa itu diberi nama dengan mengambil nama kelompok bangsa itu yang menuturnya sebagai bahasa ibunda.

“Bahasa Jepun bukan bahasa negara Jepun, bahasa orang Jepun kan, walaupun kita kata bahasa Indonesia itu kalau dalam bahasa Inggeris dia tak panggil Indonesia languange (tapi) Indonesian, bila ada Indonesian tu oranglah.

“Dan kalau kita guna bahasa Malaysia nama Inggerisnya Malaysian bukan Malaysian language, contoh bahasa Inggeris kan dituturkan di Australia dia tak bagi pun nama bahasa Australia kan bahasa kelompok asal usul di Inggeris. Jelas beliau.

Dalam wawancara yang sama, Kok Seong juga mengharapkan agar kerajaan menitik beratkan prinsip rukun negara agar dapat dihayati dan diamalkan dengan lebih baik.

“Sekarang diangkat lima cita-cita negara (rukun negara) itu lepas faham kita nak angkat nilai amal.

“Jadi kita berhenti pada tahap hafal dan ingat yang itu kita handal kan hafal lima prinsip dari sekolah rendah sampai tua pun masih ingat lagi.

“Jadi entahlah di Malaysia ni banyak perkara yang baik tetapi tak ke mana sebab kita lemah dari segi pelaksanaan, kita hangat-hangat tahi ayam mula-mula memang kita hebat lepas itu kita kita tersasarlah. Ujarnya. – malayadaily.com

Wawancara boleh ditonton disini.

Facebook
Twitter
WhatsApp