KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2023 – Badrul Hisham Shaharin, sekali lagi membuat pendedahan berkaitan syarikat milik taikun yang diberi tender membersihkan Sungai Klang tanpa tender terbuka sebelum ini.
Namun, kali ini aktivis politik yang lebih dikenali dengan nama Chegu Bard itu mendakwa syarikat sama turut menuntut tanah berkeluasan lebih 100 ekar di Dengkil, Selangor.
“Lebih menarik ialah syarikat ‘swasta’ milik Berjaya Land yang ada Menteri Besar duduk makan elaun sebagai lembaga pengarah telah menghantar surat kepada menteri besar dan menteri besar meluluskan,” katanya, dipetik dalam kenyataan disiarkan di laman Facebook CheguBard Original.
Posting tersebut turut disertakan salinan surat bertarikh 2 Julai dengan tajuk “Cadangan pembangunan sungai sepanjang 56km Sungai Klang bagi projek Selangor Maritime Gateaway (SMG) di bawah Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB).”
“Kalau dulu kau heboh kes 1MDB, Najib mohon dengan Najib dan Najib luluskan kepada Najib.
“Ini samalah… Amir (Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari) selaku anggota lembaga pengarah syarikat milik tauke judi minta dengan Amirudin Shari selaku menteri besar dan Amir menteri besar luluskan kepada syarikat Amir sebagai ‘board’.
“Premium pula dicadangkan ‘wave’,… jahanam Selangor ini..,” katanya, dalam kenyataan itu.
Chegu Bard juga berkata perkara itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Mohon selamatkan, sebarkan, ini sebahagian surat yang saya hantar ke SPRM malangnya Azam Baki bisu,” katanya, merujuk kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Chegu Bard aktif menyerang Amirudin dan syarikat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) sejak beberapa minggu lalu, ketika Selangor bersama lima lagi negeri akan menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Pada 7 Ogos, beliau mendedahkan telah membuat laporan SPRM berkaitan penganugerahan projek pembersihan Sungai Klang tanpa melalui tender terbuka.
Ia membabitkan Kerajaan Negeri Selangor dan syarikat LLBSB yang didakwa milik seorang jutawan.
Beliau mendakwa, syarikat yang mengendalikan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) itu juga merupakan syarikat yang dikenal pasti bermasalah melalui laporan audit.
Dakwanya, syarikat itu memiliki tanah lebih 600 ekar, yang bernilai RM10 billion (GDV).
Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu membuat dakwaan tersebut selepas pendedahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan projek SMG.
Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan kemudiannya mengemukakan saman terhadap Sanusi dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.
Vincent dan Berjaya Land turut membuat laporan polis terhadap Sanusi dan beberapa individu seperti seperti blogger Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan-kenyataan fitnah terhadap Projek SMG.
Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menepis dakwaan-dakwaan Chegu Bard yang disifatkannya sebagai seorang yang tidak bermaruah dan hanya tahu membuat tuduhan.
Amirudin berkata, dakwaan yang ditimbulkan Chegu Bard itu tidak perlu dilayan berikutan perkara itu sudah dijawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. – malayadaily.com