TERKINI

Laporan RCI Batu Putih : Peguam persoal keputusan kerajaan

Rafique Rashid – malayadaily.com

SHAH ALAM, 2 Sept 24 – Peguam mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Rafique Rashid menyifatkan keputusan kerajaan membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen, sebagai membingungkan kerana prosiding RCI tersebut sebelum ini dijalankan secara tertutup malah Mahathir sendiri tidak diberi akses keseluruhan prosiding.

Dalam satu kenyataan, Rafique berkata sikap kerajaan hari ini tidak konsisten apabila sebelum ini hujah untuk menjalankan prosiding secara tertutup atas sebab kepentingan awam, namun hasil laporan dijadikan dokumen awam.

“Ianya tidak konsisten bahawa prosiding RCI dijalankan secara tertututup demi kepentingan awam, namun pada akhirnya laporan RCI tersebut dijadikan dokumen awam.

“Maka ianya tidak dapat dipastikan sama ada laporan RCI tersebut bersifat selektif atau separuh masak, memandangkan pihak Tun Dr. Mahathir tidak diberikan akses untuk keseluruhan prosiding.

Tambah Rafique, sebelum ini Mahathir sejak dari awal telah memohon agar prosiding RCI ini dijalankan secara terbuka, namun permohonan tersebut ditolak.

“Prosiding dijalankan secara sembunyi-sembunyi, dapatan hendak dibahas di Parlimen bagi tujuan peluru politik. Ujar Rafique.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan bahawa Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan laporan berkenaan dibentangkan oleh Pengerusi suruhanjaya berkenaan, Tun Md Raus Sharif yang juga bekas ketua hakim negara. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp