TERKINI

Lebih 30 Ribu Belia Umur Bawah 35 Tahun Bankrap – Timb. Menteri

Gambar hiasan – foto Blog

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2023 – Seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023 berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Beliau berkata prihatin terhadap situasi tersebut, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memberi pelepasan kebankrapan kepada mereka yang diisytiharkan muflis dengan jumlah hutang berskala kecil di bawah RM50,000 yang memenuhi syarat bermula 1 Mac tahun ini.

“MDI juga telah meminda seksyen 5(1)(a) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 (Akta A1624) yang diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan berkuatkuasa sejak 1 Sept 2021.

“Pindaan bertujuan menetapkan nilai had minimum keberhutangan kepada RM100,000 yang secara tidak langsung membantu menurunkan peratusan bankrap didaftarkan dengan MDI termasuklah golongan belia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu jumlah belia yang muflis serta usaha kerajaan bagi membendung isu tersebut.

Selain itu, Ramkarpal berkata kerajaan turut memperkenalkan peruntukan berkenaan pelepasan automatik pada tahun 2017 di bawah Akta 360.

Peruntukan pelepasan automatik tersebut katanya membolehkan golongan bankrap dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat iaitu tiga tahun daripada tarikh pemfailan Penyataan Hal Ehwal (PHE) dengan MDI.

“Kerajaan juga telah melakukan penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik melalui Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei lalu dan Dewan Negara pada 19 Jun ini,” katanya.

Selain itu, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab bagi membantu orang ramai yang mengalami masalah keberhutangan serius.

“Institusi kewangan perlu memastikan peminjam yang menghadapi kesulitan membayar balik pinjaman dilayan dengan adil dan diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp