TERKINI

Lelaki Muat Naik Ciapan Berbaur Perkauman Ditahan

foto youtube

PETALING JAYA, 14 April 2023 – Selepas hampir enam hari diburu, seorang lelaki ditahan dipercayai memuat naik ciapan yang berunsur perkauman yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira pukul 6.30 petang semalam di sekitar ibu negara.

“Tangkapan melibatkan individu bernama Roslizal Razali yang dipercayai memuat naik ciapan di Twitter @RezaRazali.

“Pihak polis turut merampas komputer riba dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, antara kesalahannya mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut serta Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

Tambahnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Pihak polis akan mendapatkan permohonan reman hari ini,” jelasnya.

Pada 6 April lalu, PDRM membuat hebahan bagi mengesan Roslizal, 46, untuk membantu siasatan kes.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Fairol Abu Bakar di talian 016-4469473 atau 03-22666071,” katanya. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp