KUALA LUMPUR, 14 Julai 2023 – Kerajaan harus memberi jaminan pembangunan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dikatakan bakal dihidupkan semula akan memberikan peluang untuk penyertaan bumiputera.
Bekas menteri kerja raya Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, pembangunan projek itu juga memerlukan banyak pertimbangan selepas ianya dibatalkan pada 2021.
“Apakah jaminan pihak kerajaan kepada rakyat Malaysia dan khususnya kepada penyertaan bumiputera dalam perlaksanaan projek ini?
“Projek itu juga harus benar-benar akan memberikan manfaat kepada penduduk tempatan di sepanjang laluan.
“Malaysia juga sepatutnya memainkan peranan utama dalam rundingan projek ini, kerana lebih dari 90% infrastruktur projek akan berada di Malaysia.
“Malaysia seharusnya memimpin perbincangan dan rundingan kerana kesan yang paling besar termasuk kesan ekonomi akan dirasakan di Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan.
Pengerusi MyHSR Corp Fauzi Abdul Rahman sebelum ini mengumumkan projek sepanjang 350km yang bernilai RM110 bilion itu akan diteruskan semula dengan pembiayaan sepenuhnya oleh syarikat swasta.
Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk bersama-sama membangunkan projek yang akan memendekkan tempoh masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit.
Projek itu bagaimanapun ditamatkan pada 1 Januari 2021 apabila kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.
Malaysia kemudiannya terpaksa membayar SGD102.8 juta kepada Singapura akibat kos yang ditanggung bagi pembangunan projek dan pelanjutan penangguhannya.
Mohd Zin turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan yang lebih terperinci dan bersikap jujur mengenai keperluan projek tersebut, selain manfaat kepada negara dan rakyat Malaysia sekiranya ia benar-benar akan diteruskan semula.
Menurutnya, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan semula berdasarkan rundingan sebelumnya apabila projek itu dibatalkan.
“Kebolehlaksanaan projek ini harus memberi keutamaan kepada kerjasama yang memberikan manfaat yang sewajarnya kepada Malaysia dan Singapura berdasarkan prinsip menang-menang,” kata Mohd Zin.
Timbalan pengerusi Proklamasi Orang Melayu itu turut mengingatkan kerajaan berkenaan implikasi kos dan kerugian yang ditanggung sebelumnya akibat komitmen tanpa penelitian yang sewajarnya.
“Meskipun pembiayaan projek ini melalui sektor swasta, memberikan konsesi kepada syarikat yang dilantik tetap memberikan liabiliti kontinjen kepada negara.
“Sehubungan itu, rakyat juga katanya perlu dilibatkan dalam kajian berkaitan projek tersebut disamping manfaat ekonomi dari Singapura di sepanjang laluannya nanti,” katanya. – malayadaily.com