TERKINI

Pengerusi P.O.M. Selangor Persoal Elaun Imam Negeri Selangor

KUALA LUMPUR, 29 Julai 2023 – Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mempersoalkan elaun imam di Selangor yang menurutnya masih di bawah paras gaji minimum.

Beliau juga menuntut kerajaan negeri menjelaskan status dan gred gaji imam besar masjid negeri di Shah Alam.

“Dia kata elaun imam adalah RM1,300, walaupun ini masih di bawah paras gaji minima negara.

“Setakat inikah sumbangan kepada pemimpin masjid, sedangkan gaji menteri besar Selangor sendiri boleh dinaikkan 106% sampai lebih tinggi daripada gaji perdana menteri Malaysia?

“Bercakap soal kebajikan imam-imam di Selangor ni, boleh saya bertanya, apakah status dan gred jawatan Imam Besar Masjid Negeri selaku imam nombor satu di negeri ni?” soalnya, di ruangan Twitter, miliknya, baru-baru ini.

Mohd Zin turut mempersoalkan status perjawatan imam tersebut, sama ada berjawatan tetap dan berpencen, ataupun sekadar kontrak.

Ciapan Mohd Zin itu selepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menjawab tuduhan, yang kononnya kerajaan negeri tidak membela masjid di negeri berkenaan.

Mohd Zin mendakwa, bilangan masjid yang didaftarkan di Selangor semakin menurun dan elaun kakitangan dan penggerak masjid turut diturunkan.

Beliau mendakwa, elaun imam hanyalah sebanyak RM850.

Amirudin sebaliknya menafikan tidak han Mohd Zin dan menjelaskan, elaun imam di Selangor adalah RM1,300 sebulan dan bukan seperti dakwaan Mohd Zin.

“Di hari Jumaat yang mulia ini hentikan fitnah yang tidak berasas, angka dan fakta menunjukkan bahawa kerajaan negeri istiqamah dalam menyuburkan syiar Islam di Selangor.

“Sebanyak 78 masjid dan 75 surau dibina baru dan ditambah baik. Elaun guru KAFA ditingkatkan dan tertinggi di Malaysia. Insentif khas khusus buat imam, bilal dan siak masjid seluruh Selangor. Insentif khas buat jemaah Haji Muassasah.

“Elaun Imam di Selangor adalah RM 1300 sebulan bukan RM850 seperti yang didakwa,!” kata Amiruddin, dalam ciapan balas kepada Mohd Zin.

Tambahnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyumbangkan hampir 55 peratus daripada keseluruhan sumbangan elaun bagi pegawai dan AJK masjid di negeri itu setahun yang berjumlah lebih RM19 juta.

Baki sumbangan diterima adalah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Amirudin juga menjelaskan, dana sebanyak RM185 juta diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih 78 masjid dan 75 surau antara 2019 hingga 2022.

Beliau menegaskan, kerajaan memperuntukkan RM105 juta setahun dana pengurusan dan penyelenggaraan sekolah agama, masjid, dan surau untuk tempoh sama.

“Jauhi fitnah yang merupakan dosa besar dalam Islam,” tegas Amirudin, dalam ciapannya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp