KUALA LUMPUR, 13 Dis — Kerajaan MADANI didakwa semakin hilang arah apabila dilihat lebih menumpukan isu-isu kecil berbanding menangani masalah besar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, kata Pemangku Ketua Wira Parti PUTRA, Dr Mohamad Izwan Zainal.
Menurut beliau, kerajaan kelihatan pantas tampil dengan kenyataan dan tindakan apabila melibatkan isu remeh yang selamat dari sudut politik, namun seolah-olah berdiam diri apabila berdepan isu kritikal seperti banjir, keselamatan jalan raya dan kos nyawa rakyat.
“Kerajaan tidak boleh memilih masa untuk berani hanya apabila risikonya rendah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas isu banjir, Dr Mohamad Izwan berkata rakyat sudah muak dengan retorik pascabencana dan lawatan selepas kejadian, sebaliknya menuntut penjelasan jelas mengenai projek mitigasi banjir termasuk status pelaksanaan, keberkesanan perbelanjaan berbilion ringgit dan pengurangan risiko yang benar-benar boleh diukur.
Beliau turut membangkitkan isu kematian akibat pemandu mabuk yang disifatkan sebagai tragedi berulang, sambil mempersoalkan kelembikan tindakan kerajaan serta ketiadaan komitmen nasional yang tegas terhadap keselamatan jalan raya. Keadaan itu, katanya, mencerminkan kegagalan moral dan pentadbiran apabila nyawa rakyat tidak dijadikan keutamaan.
Tambah beliau, komunikasi kerajaan kini lebih menyerupai propaganda jangka pendek tanpa data, metrik dan pelan pelaksanaan yang telus, sekali gus menghakis kepercayaan rakyat.
“Negara memerlukan kepimpinan yang berani mengangkat isu besar, bukan pentadbiran yang reaktif dan mengejar persepsi atau glamour,” katanya. – malayadaily.com