TERKINI

UMNO Johor mahu PH henti minta tubuh kerajaan perpaduan

Gambar hiasan, PHBN – foto facebook

PONTIAN, 28 Dis 2023 – Isu penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri ini perlu dihentikan kerana Barisan Nasional ( BN ) tidak pernah meminggirkan parti dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN Johor, Datuk Jefridin Atan berkata, wakil parti berkenaan di negeri ini juga tidak dipanggil pembangkang, sebaliknya sebagai ‘Pengimbang’.

Justeru, katanya, permintaan tersebut tidak adil kerana kerajaan BN negeri dibentuk sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan, iaitu pada Mac 2022 selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

“Kemenangan BN Johor pada Pilihan Raya Negeri ( PRN ) pada bulan Mac tahun lalu merupakan mandat yang telah diberikan oleh pengundi yang sewajarnya tidak boleh dipertikaikan.

“Kami pun mesra dengan pihak pengimbang dengan kerajaan negeri turut memberikan peruntukan bagi mereka membantu pengundi di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah  Kita Jaga Kukup, Bersih dan Lestari di Dewan Serbaguna Permas, di sini malam tadi.

Jefridin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bendahari Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr. Mohd. Zuhan Zain bahawa wakil parti itu serta PH perlu menjadi sebahagian kepimpinan kerajaan negeri, sungguhpun BN kini mendominasi 40 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi, manakala PH meraih 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula hanya memenangi tiga kerusi, iaitu Bersatu dua dan Pas satu. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp