TERKINI

Mahathir Pernah Cadang Jalan Keluar Bagi Anwar – Ibrahim Ali

Gambar hiasan – foto minda rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2023 – Presiden Putra, Dato’ Dr. Ibrahim Ali menceritakan kembali bagaimana bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan jalan keluar kepada Anwar bagi mengelak dakwaan mengenai kesnya di ketahui umum.

Dalam satu rakaman video yang tersebar menerusi platform Whatsapp dan Tiktok, Ibrahim Ali menceritakan apa yang berlaku di belakang tabir beberapa minggu sebelum pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998.

“Beginilah Ibrahim, awak pergi jumpa balik Anwar, suruh Anwar tulis surat letak jawatan. Dan (tulis dalam surat itu) dia letak jawatan kerana dia tidak setuju dengan dasar ekonomi dan hal urusan kewangan pada waktu itu kerana negara kita diserang oleh penyangak mata wang,” kata Ibrahim memetik Mahathir, merujuk kepada krisis kewangan Asia pada 1997.

Menceritakan kembali pengalaman beliau ketika itu, ia bermula apabila perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir bertanyakan soalan mengenai dakwaan salah laku seksual terhadap timbalannya.

Menurut Ibrahim semasa pertemuan tersebut, Mahathir berkongsi butiran mengenai Anwar seperti yang diberikan oleh pegawai perisikan dan lain-lain, termasuk oleh (Tun) Hanif Omar.

Ibrahim berkata selepas pertemuan tersebut, beliau mula menjauhkan diri daripada Anwar.

Namun menurut Ibrahim, dua hari sebelum 2 September, Anwar mengajaknya berjumpa dan pada pertemuan itu Anwar memintanya untuk berjumpa Mahathir dengan tujuan untuk meyakinkan perdana menteri agar memberinya “peluang sekali lagi”.

Ketika beliau menemui Mahathir, Ibrahim berkata beliau memeluk perdana Menteri itu sambil menangis dan merayu supaya memberikan peluang sekali lagi kepada Anwar.

Semasa perjumpaan tersebut, Ibrahim berkata Mahathir memberitahunya Anwar boleh berselisih faham dalam hal ekonomi tetapi bukannya dakwaan tidak bermoral sebagai alasan untuk beliau meletak jawatan.

Ibrahim berkata, beliau terus membuat rayuan terakhir bagi pihak Anwar, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Mahathir dan memberitahunya: “No, Ibrahim! Biar saya hancur, saya tidak akan rosakkan negara untuk serahkan jawatan perdana menteri kepada beliau.”

“Tak ada masalah. Tentu orang akan marah kat saya. Saya akan memikul tanggungjawab,” kata Ibrahim memetik Mahathir sebagai berkata, merujuk kepada cadangannya agar Anwar meletakkan jawatan atas sebab berselisih pendapat dalam isu ekonomi (krisis kewangan).

Pada 2000, Anwar dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana meliwat adik angkatnya Sukma Darmawan kemudian dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya.

Namun dalam penghakimannya, hakim berpendapat bahawa perbuatan homoseksual itu berlaku, kenyataan yang gagal dimansuhkan oleh Anwar.

Anwar sekali lagi didakwa atas tuduhan liwat pada 2008, ketika itu ia melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2015, tetapi dibebaskan pada 2018 selepas mendapat pengampunan diraja sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya bagi membebaskannya oleh kerajaan Pakatan Harapan yang ketika itu dipimpin Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp