TERKINI

“Himpunan Aman Selamatkan Malaysia” Akan Jelajah Seluruh Negara Kumpul Sokongan – Chegu Bard

Badrul Hisham Shaharin – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 19 Sept 2023 – Kempen #Selamatkan Malaysia yang menganjurkan himpunan di ibu negara minggu lepas bakal digerakkan ke seluruh negara bagi mengumpul sokongan yang lebih banyak, kata aktivis politik Badrul Hisham Shaharin.

Lebih dikenali sebagai Chegu Bard, beliau berkata, himpunan di Masjid Kampung Baru minggu lepas dianggap satu kejayaan berikutan kehadiran sekitar 1,000 orang, walaupun hebahannya dibuat sekitar lima hari sahaja.

“Kita yakin dalam masa terdekat akan ada pihak membentuk seketeriat secara teratur, menjelajah dan menggerakkan kekuatan rakyat seluruh negara.

“Kita ucapkan tahniah kepada semua pemberani yang sempat bersama menyatakan sikap. Cetusan program aman #SelamatkanMalaysia pada 16 Sept. cuma dilontarkan hanya pada 10 Sept. dengan sekitar 5 hari sahaja hebahan, sebegitu ramai rakyat bersama,” katanya, dalam satu kenyataan, di media sosial Facebook miliknya, semalam.

Chegu Bard turut memaklumkan, dia bersama beberapa aktivis lagi akan hadir di IPD Dang Wang di Kuala Lumpur, esok bagi membantu siasatan berhubung penganjuran himpunan tersebut.

“InsyaAllah saya dan tiga aktivis Umno iaitu Datuk Ali Tinju, Tandiko Dalusin (Atan Lee cas) dan Shikin Baharudin akan hadir ke IPD Dang Wangi 20 Sept. (Rabu), 10.45 pagi, dijangkakan senarai kemungkinan bertambah selepas kumpulan pertama Datuk Tun Faisal dan lain lain dipanggil pagi ini.

“Kita sangat memahami PDRM menjalankan tugas dan dalam tekanan regim campuran, namun ditegaskan hak untuk berhimpun secara aman adalah jaminan Perlembagaan yang termaktub dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu sebarang usaha melawan Perlembagan negara ialah jenayah,” kata Bard, lagi.

Untuk itu, esok mereka juga kata Bard akan membuat laporan polis terhadao Pejabat Peguam Negara dan PDRM kerana siasatan yang bertentangan Perlembagaan negara.

“Program bantahan rakyat terhadap pengguguran (haram) kes Zahid Hamidi jauh lebih aman dan teratur dari siri himpunan anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp