TERKINI

Tak Bijak Lawan Mahathir – Kadir Jasin

foto borneo post online

KUALA LUMPUR, 17 April 2023 – Wartawan veteran A Kadir Jasin mengingatkan, secara politiknya tidak bijak bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim berterusan berada dalam pertikaian dengan bekas mentornya yang kini menjadi seterunya, Dr Mahathir Mohamad.

Kadir menegaskan jika keadaan itu berterusan Anwar boleh hilang segala-galanya, sebaliknya Mahathir pula tidak akan rugi apa-apa.

Katanya, Mahathir bebas mengeluarkan kenyataan dan bercakap apa-apa sahaja kerana beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan dan kuasa.

Berbeza dengan Anwar, beliau pula boleh bertindak terhadap Mahathir kerana kuasanya sebagai perdana menteri.

“Jangan cakap sahaja,” katanya kepada MalaysiaNow seperti yang dilaporkan.

Sejak Anwar menjadi perdana menteri pada November tahun lalu, kedua-dua tokoh ini dilihat sering kali berbalas kenyataan dan bidasan melalui laporan-laporan media.

Ini termasuklah acara Proklamasi Orang Melayu yang akan dihadiri Mahathir dibatalkan beberapa kali disebabkan tempahan dewan yang dibuat oleh penganjur ditarik balik tanpa sebarang alasan.

Mahathir mendakwa Anwar sebagai dalang di sebalik pembatalan proklamasi tersebut.

Beliau berpandangan semua itu tidak akan berlaku tanpa arahan dan kebenaran daripada kuasa perdana menteri.

Terbaru, Mahathir memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar untuk menarik balik tuduhannya terhadap beliau yang mengumpul kekayaan untuk diri dan ahli keluarganya dan jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.

Merujuk kepada kes tersebut, Kadir berkata Anwar sepatutnya berhenti daripada menuduh Mahathir memperkayakan diri dan keluarganya jika tiada bukti.

Ini kerana, apabila bekas perdana menteri itu minta beliau buktikan, Anwar melalui peguamnya terpaksa mohon tangguh dan lanjut tempoh masa.

“Cukuplah berdansa dengan serigala, tak kiralah serigala tua atau muda.

“Kalau beliau tidak mahu kalah dengan Mahathir yang sudah pun kalah dalam PRU15, ambillah tindakan ke atasnya.

“Kalau beliau yakin beliau mempunyai bukti yang kukuh dan lebih banyak penyokong daripada Mahathir, teruskan saja tindakan terhadap musuhnya itu.

“Majoriti rakyat mesti sokong,” katanya. – malaysianow

Facebook
Twitter
WhatsApp