PUTRAJAYA, 6 Mac 2024 – Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu memaklumkan, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd Isa Samad dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta kerana bayaran pertuduhan suapan itu tidak disokong bukti yang boleh dipercayai.
Keputusan sebulat suara tersebut dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.
Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer Alam berkata, dapatan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa, bayaran telah dibuat kepada Isa (selaku perayu) melalui dua saksi, namun ia tidak disokong dengan bukti boleh dipercayai.
Dua individu itu ialah saksi pendakwaan ke-21 (SP21), (ketika itu) pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip dan SP16, bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
“Ia berdasarkan keterangan, SP16 dikatakan telah membuat sembilan pembayaran kepada SP21 tetapi tiada bukti yang menunjukkan perayu telah menerima bayaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga membuat dapatan bahawa suapan diberi oleh SP16 kerana bimbang perayu boleh membatalkan kontrak penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kerana Isa (ketika itu) bertindak sebagai Pengerusi Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.
“Bagaimanapun, kami bersetuju dengan pembelaan perayu bahawa, pertuduhan menjadi cacat kerana isu yang menyentuh kebimbangan perayu boleh membatalkan kontrak, tidak dinyatakan dalam mana-mana sembilan pertuduhan,” katanya.
Bukan itu sahaja, Vazeer Alam berkata, pihak pendakwaan telah membentangkan dua naratif yang berbeza mengenai kes ini, iaitu dalam pertuduhan dan pernyataan pembukaan mereka.
Menurutnya, ia menyatakan bahawa suapan itu adalah ganjaran untuk membantu meluluskan pembelian MPHS yang mana kemudiannya ditukar kepada dorongan supaya perayu tidak mengganggu kontrak pembelian hotel tersebut.
Beliau berkata, persoalan mula timbul mengenai Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang digunakan oleh hakim perbicaraan dalam memutuskan sama ada kes prima facie telah diwujudkan terhadap perayu sebagai suatu ganjaran atau dorongan.
Meskipun begitu, beliau berkata, pihak pendakwaan tidak boleh menukar pertuduhan di pertengahan jalan, dengan secara tiba-tiba kerana mereka perlu mematuhi butir-butir pertuduhan yang dinyatakan.
“Menjadi undang-undang bahawa perayu mesti mempunyai dokumen yang jelas mengenai perkara yang didakwa kerana jika tidak dia akan diprejudis secara serius dalam pembelaannya.
“Jika berlaku dua versi percanggahan kes pendakwaan, maka kekaburan yang timbul perlu diselesaikan,” katanya.
Susulan itu, panel tiga hakim ini mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan kes prima facie berdasarkan keterangan SP16.
“Oleh itu, kami mendapati bahawa secara keseluruhannya, sabitan ke atas kesemua sembilan pertuduhan adalah tidak selamat.
“Terdapat merit dalam permohonan ini maka rayuan terhadap sabitan dan hukuman berhubung semua pertuduhan dibenarkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan, perayu dibebaskan dan dilepaskan,” kata Vazeer Alam.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika ditemui pemberita memaklumkan, pihaknya perlu berbincang dengan Peguam Negara (AG) sebelum memutuskan sama ada merayu atau sebaliknya, berhubung keputusan ini.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.
Dalam rayuan ini, bekas pemimpin UMNO itu diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz. – Sinar Harian