TERKINI

Mahkamah Beri Kebenaran Peguam Cabar Larangan Merokok Di Pejabat

Haniff Khatri Abdulla (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 25 Jan 25 – Peguam Kanan, Haniff Khatri Abdulla memaklumkan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap Menteri Kesihatan Malaysia bertujuan mencabar penguatkuasaan undang-undang ‘Larangan Merokok di Pejabat Sendiri’, telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam kenyataan ringkasnya, Haniff berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan perintah tersebut merangkumi perintah ‘Certiorari’ bagi membatalkan kewujudan ‘Larangan Merokok di tempat kerja’ dan/atau ‘bangunan tempat kerja’ yang telah dikeluarkan oleh Responden-Responden seperti yang dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 September 2024 bertajuk Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan Atau Tempat Larangan Merokok).

Ia turut meliputi suatu perintah mandamus untuk mengarahkan responden-responden memberikan pengecualian kepada firma Haniff Khatri di Kota Damansara berkenaan pematuhan kepada Larangan Merokok berkenaan.

“Selain daripada itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah memberikan Perintah Ad-Interem untuk gantung pelaksanaan Larangan Merokok berkenaan di pejabat Haniff Khatri diberikan sehingga Permohonan Penggantungan itu didengar secara Inter Partes pada 27.02.2025, kelak. Ujarnya.

Pada 31 Dis lalu, Haniff memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap menteri kesihatan dan kerajaan bagi mencabar larangan merokok di pejabat swasta.

Beliau berpendapat larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 tidak berperlembagaan dan mahu Mahkamah Tinggi membatalkan arahan itu.

Beliau juga mahu mahkamah mengarahkan Putrajaya mengecualikan firma guamannya di Kota Damansara daripada larangan itu kerana dirinya perokok tegar. Haniff berkata, pejabatnya sudah lama memaklumkan pekerja dan anak guam berhubung tabiat merokoknya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp