TERKINI

Pengislaman tiga anak : MAIPS mohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan – Peguam Cara

Gambar hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 9 Feb 2024 – Majlis Agama Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan, permohonan tersebut dikemukakan semalam dan menamakan Loh Siew Hong sebagai responden.

Dalam satu kenyataan media, peguamcara yang mewakili MAIPS, Tetuan Chambers of Zainul Rijal berkata, Pemfailan Notis Usul (Notice of Motion) ini adalah susulan dari keputusan Mahkamah Rayuan pada 10.01.2024 yang membenarkan rayuan Loh Siew Hong bagi mencabar keabsahan pemelukan agama Islam ketiga-tiga anak mualaf di Perlis.

“Kerana menurut Mahkamah Rayuan, pengIslaman kanak-kanak melalui sepihak iaitu ibu atau bapa adalah tidak berperlembagaan menurut kes Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors and other appeals [2018] 1 MLJ 545.

Beliau menambah bahawa walaupun sebelum daripada itu, pada 11 Mei 2023, Mahkamah Tinggi telah memberikan keputusan yang mengekalkan ke-Islaman anak-anak mualaf tersebut.

“Atas bukti-bukti yang menunjukkan bahawa mereka dengan sukarela sendiri, tanpa paksaan sesiapa, sememangnya ingin mengamalkan agama Islam, termasuk solat Subuh walaupun telah berada dalam jagaan ibu yang bukan Islam.

“Justeru keIslaman mereka itu diterima sebagai sah. Katanya.

Menurut peraturan, Seksyen 96 dan 97 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menetapkan bahawa sebelum merayuke Mahkamah Persekutuan, permohonan untuk kebenaran merayu (leave to appeal) perlu diperolehi terlebih dahulu.

“Justeru itu, MAIPs memfailkan Notis Usul memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan, atas isu-isu pokok perlembagaan dan perundangan berkenaan kedudukan agama ketiga-tiga kanak-kanak tersebut.

“Peguam kanan, Tuan Haji Haniff Khatri akan terus bertindak sebagai kaunsel utama bagi mewakili MAIPs ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah Persekutuan kelak, bersama dengan barisan kaunsel yang lain. Ujarnya.

Peguam cara juga menjelaskan bahawa mereka telah diarahkan untuk menegaskan bahawa pengIslaman kanak-kanak mualaf tidaklah sama sekali menjejaskan hubungan anak-anak tersebut dengan ibunya yang masih belum Islam.

“Sebaliknya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memastikan anak-anak mualaf diberi kebebasan mengamalkan agama Islam, mendapat bantuan, panduan dan sokongan yang sewajarnya agar keIslaman dan aqidah mereka terpelihara. Tambahnya.

Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.

Panel tiga hakim dipengerusikan, Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wanita terbabit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. – malaydaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp